Pelakon dan hos, Nick Cannon telah mengumumkan yang dia baru sahaja kehilangan anak bongsunya pada hujung minggu lalu. Hos kepada rancangan terkenal America’s Got Talent dan juga The Masked Singer ini telah mengumumkan perkara tersebut di rancangan bual bicaranya, Nick Cannon. Anak tersebut merupakan hasil hubungannya bersama model, Alyssa Scott.
Suasana di dalam studio menjadi gamat dan dapat didengari penonton terkejut apabila mendengar perkhabaran yang disampaikan olehnya. Diberi nama Zen, bayi lelaki berusia lima bulan yang dilahirkan pada 23 Jun 2021 yang lalu meninggal dunia akibat kanser otak.
Dalam perkongsiannya, Nick menyatakan dia dan Alyssa mula membawa anak mereka itu berjumpa doktor apabila melihat Zen bernafas dalam keadaan tidak normal seperti menghidap sinus selain kepalanya sedikit besar dari kebiasaan bayi yang normal.
Hasil pertemuan dengan doktor, setelah didiagnos, terdapat cecair terkumpul di kepala anak ketujuhnya itu dan juga sel kanser cepat merebak yang memerlukan pembedahan otak. Zen kemudiannya menjalani pembedahan dan dipasang alat untuk mengalirkan cecair dari kepalanya.
Menurut lelaki berusia 41 tahun itu, “Kanser tersebut merebak dengan cepat dan kami tahu masanya tiba. Hujung minggu lalu, saya meluangkan masa paling berkualiti yang saya boleh luangkan dengan Zen. Kami bangun pada Ahad dan saya mahu berada dekat dengan air dan pantai. Menyaksikan cahaya matahari meninggi dan memegang anak saya. Ketika itu saya memegang anak saya untuk kali terakhir.”
Untuk pengetahuan pembaca, terlebih dahulu Nick sebelum ini menjadi bualan ramai apabila menimang empat cahaya mata dalam masa setahun bersama tiga wanita berlainan. Pada Disember 2020, dia menimang cahaya mata perempuan bersama Brittnay Bell, kemudiannya pada awal Jun 2021 dia menimang sepasang cahaya mata kembar bersama DJ Abby De La Rossa. Zen pula dilahirkan pada 23 Jun hasil hubungannya bersama Alyssa Scott.
Dia walaubagaimanapun tidak berkahwin dengan ketiga-tiga wanita tersebut. Nick merupakan bekas suami penyanyi bersuara emas, Mariah Carey, dan hasil perkongsian hidup mereka selama enam tahun dikurniakan sepasang cahaya mata kembar sebelum rasmi bercerai pada 2016.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan