Penyanyi, Jaclyn Victor akui turut tumpang gembira bagi pihak bekas suami, Shawn Rivera yang difahamkan telah mendirikan rumah tangga pada Mei lalu.
Menurut Jaclyn atau lebih mesra disapa Jac, dia juga ada menitipkan doa dan ucapan tahniah menerusi sebuah hantaran di Instagram Stories.
“Sebelum ini, dia pernah bagitahu yang dia tidak akan berkahwin lagi tapi akhirnya dia sudah bertemu pasangan hidup dan berkahwin.
“Saya sangat gembira bagi pihak bekas suami.
“Saya ada menitipkan ucapan tahniah dan kongsikan di ruangan Instagram Stories. Saya doakan dia dan isteri kekal bahagia selama-lamanya,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Gemilang itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Jaclyn Victor First Solo Concert yang berlangsung di Palm Garden Hotel, Putrajaya pada Selasa.
Bagaimanapun, Jac mendedahkan dia dan anak-anak tidak dimaklumkan oleh bekas suami mengenai perkahwinan tersebut.
“Saya tidak tahu pun bila perkahwinan tersebut berlangsung. Saya hanya nampak hantaran mengenai perkahwinan mereka di Instagram.
“Dia tiada maklumkan apa-apa kepada saya,” ujarnya.
Ditanya mengenai hubungan bekas suami bersama anak-anak, Jac memaklumkan semua pihak sedang berusaha menjadi yang terbai
“Hubungan kami baik dan seperti biasa sahaja. Saya sendiri tak tahu sama ada saya ini ibu yang baik atau tidak. Namun, saya sentiasa berusaha menjadi ibu yang terbaik.
“Saya pasti bekas suami juga begitu. Namun, keadaan sedikit sukar buat dia kerana dia tinggal di luar negara.
“Bagaimanpun, bekas suami kerap membuat panggilan video dan berusaha semampunya untuk berhubung dengan anak-anak,” katanya lagi.
Pada masa sama, Jac turut memaklumkan Shawn ada pulang ke Malaysia untuk bertemu dengan anak-anak, baru-baru ini.
“Bekas suami ada pulang ke Malaysia pada bulan Mei lalu. Dia berada di sini selama hampir sebulan dan dia ada berjumpa anak-anak,” akhirinya.
Terdahulu, Jac bakal mengadakan konsert sulung yang diberi nama Jacly Jaclyn Victor First Solo Concert yang akan berlangsung pada 12 Oktober di Zepp KL.
Konsert anjuran Banyak Bagus Entertainment dan Awake Production ini bakal menceritakan semula perjalanan Jac sepanjang 20 tahun bergelar anak seni.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.