Neelofa menyifatkan bekas abang iparnya yang juga pelakon, Sharnaaz Ahmad sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab terhadap anak hasil perkongsian hidup dengan kakaknya, Noor Nabila iaitu Jebat Jayden.
Menghormati akan jasanya itu, Neelofa mengakui Sharnaaz mengorbankan masa hampir setiap hari untuk berjumpa dan isi masa bersama anak tunggal mereka meski sudah tidak tinggal sebumbung.
Malah baginya juga, perkara itu boleh dijadikan contoh oleh pasangan yang melalui situasi hampir sama.
“Kes melibatkan mereka sudah berlarutan lama atas situasi semasa yang berlaku. Jadi bila sudah selesai, saya turut bersyukur dan itu merupakan keputusan mereka berdua.
“Pada masa sama, saya merasakan ada hikmah kerana dalam tempoh tersebut (kes mahkamah), hubungan mereka berdua sangat pulih dari segi saling menjaga anak mereka.
“Sharnaaz seorang bapa yang sangat bertanggungjawab dan bila dia sanggup korbankan masa untuk hampir setiap hari datang melawat anaknya.
“Saya rasa perkara itu boleh dijadikan contoh oleh pasangan berpisah,” katanya kepada MH.
Sementara itu, figura terkenal ini juga tidak menafikan apa yang dilakukan aktor berkenaan bukanlah satu perkara mudah dan mengharapkan agar Jebat mampu untuk menghargai jasa si bapa apabila dewasa kelak.
“Saya sendiri adalah daripada keluarga yang bercerai juga dan saya dibesarkan oleh ibu selama beberapa tahun sebelum dia kembali mendirikan rumah tangga.
“Akan tetapi bagi seorang bapa yang bertemu dengan anaknya dengan begitu kerap sekali, ia bukan suatu hal yang mudah.
“Saya harap apabila Jebat sudah dewasa nanti, dia akan menghargai bapanya,” katanya yang kini muncul menerusi program bual bicara terbaru, Next To Neelofa.
Terdahulu, Sharnaaz Noor Nabila sah bercerai pada 9 Julai lalu secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
Pasangan tersebut berkahwin pada 31 Mac 2017 di Petaling Jaya, Selangor dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden yang bakal menginjak usia dua tahun Ogos ini.
Ikuti temu bual penuhnya di sini;