Lakonan mantap barisan pelakon menerusi drama episod, Drama 7 Hari Mencintaiku ternyata membuahkan hasil selepas mendapat perhatian meluas daripada penonton setia drama tempatan.

Lalu, barisan pelakon drama berkenaan Shukri Yahaya, Liza Abdullah, Wan Sharmilla dan Syazwan Zulkifli telah diundang sebagai tetamu jemputan untuk segmen Geng Pagi Hot di radio Hot FM, pada pagi Isnin.

Mereka diundang ke konti bagj mempromosikan drama yang telah mencipta fenomena industri drama tempatan itu.

Ketika sesi temu bual berlangsung, pelakon Liza Abdullah antara lain mengakui ada menerima komen negatif daripada penonton gara-gara watak Mak Leha yang dilakonkan olehnya dalam drama berkenaan.

IKLAN

“Saya akui memang ada orang komen yang membenci saya kerana watak Mak Leha, tapi awal-awal lagi saya cakap saya dah maafkan semua yang komen tu.

“Saya faham mungkin mereka benci saya kerana Mak Leha tapi saya harap mereka tak benci dengan Liza Abdullah,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon berusia 56 tahun ini turut menitip ucapan terima kasih kepada semua penyokong setia drama terbabit.

“Saya nak ucap terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong 7 Hari Mencintaiku daripada musim pertama sampai kedua. Kalau ada yang merindua mungkin boleh tengok ulangan nanti.

“Dan saya nak ucap terima kasih kepada TV3 kerana memberi ruang serta peluang dan harap sangat peminat sentiasa menyokong drama slot Akasia,” katanya lagi.

Sekadar informasi, drama 7 Hari Mencintaiku bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di TV3 menerusi slot Akasia.

Foto: Instagram Liza Abdullah