“Saya Harap Pihak Berkusa Dapat Kutip Penipu Ni Semua,” – 400 Jemaah Haji Terkandas Di KLIA, Aaron Aziz & Michael Ang Selar Pihak Tidak Amanah

Share

Sejak semalam, hangat diperkatakan di media sosial mengenai nasib 400 jemaah Haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas tidak dapat berlepas ke Jeddah.

Kesemua mereka didakwa telah menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan yang sepatutnya membawa jemaah untuk menunaikan haji di Tanah Suci Mekah.

Perkhabaran ini nyata mengundang reaksi pelbagai di kalangan warganet. Antara yang turut sama memberikan reaksi berhubung insiden ini termasuk pelakon popular, Aaron Aziz.

Menurut Aaron, dia menyifatkan penipuan jemaah haji sebagai tindakan yang paling keji dan berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

“Sungguh biadap. Sungguh tak beramanah. Sungguh keji. Saya harap pihak berkuasa dan Persatuan Kebajikan dapat kutip penipu dan pembohong semua.

“Jom siapa yang solat Jumaat ramai ramai kita doakan utk mangsa mangsa yg ditiipu dan dipermudahkan urusan mereka,” tulisnya di Instagram.

Dalam pada itu, pengarah dan penerbit terkenal, Michael Ang turut menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu.

Jelas Michael, sikap mereka ini seolah-olah tidak menghiraukan kepayahan dan kesusahan para jemaah yang telah bertungkus lumus mengumpul duit dan membuat persediaan untuk menunaikan rukun Islam ke-5 itu.

“Banyak-banyak benda yang kamu semua nak menipu, janganlah menipu orang yang pergi umrah atau haji lebih-lebih lagi dari kalangan warga emas.

“Tak rasa bersalah ke menipu duit orang-orang tua tu? Secara seriusnya, anda tiada ibu bapa juga ke?

“Nak menipu pun pergilah menipu orang yang mudah tertipu atau nak cepat kaya,” ulasnya.

Rasa geram itu dikongsikan sendiri oleh Michael menerusi entri terkini yang laman Instagram.

Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen turut menyatakan pandangan yang sama selain turut berharap agar nasib para jemaah ini dapat dibela.

“Betul sangat. Kesiannya. Semua simpan duit. Mereka ingat mereka akan sampai Mekah dengan duit yang dikumpul hasil penat lelah.

“Sampai hati buat begini pada mereka yang nak menunaikan haji. Simpanan sepanjang hayat. Ada yang bergolok gadai semata-mata nak jejakkan kaki ke tanah suci Mekah.

“Kesian dekat diorang. Teringat kalau mak bapak kita yang kena.

“Mereka semua ini tiada hati dan perasaan.

“Setuju, hancur hati bila baca berita tentang ni,” antara komen-komen netizen di Instagram.

Terdahulu, memetik laporan terkini Astro Awani, sebanyak 17 laporan polis telah dibuat jemaah Haji terlibat berikutan isu penipuan ini.

Menurut Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman, kesemua laporan polis itu dibuat di sekitar Lembah Klang sehingga jam 4.30 pagi Jumaat.

Kesemua jemaah Haji itu berdaftar di bawah visa furada.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Aaron Aziz, Michael Ang & Fareez Azman

Published by
Aizam Manaf