Pelakon yang juga anak kepada pelakon, Allahyarham Azmin Mustapha iaitu Alya Iman mengakui pemergian bapanya itu sedikit sebanyak memberikan kesan yang mendalam terhadap perjalanan hidupnya.
Menurut Alya, arwah sentiasa ada dikala susah mahu pun senangnya dan selepas pelakon senior itu menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia menyifatkan kehidupannya seolah-olah seperti kehilangan punca.
“Saya kehilangan kekuatan saya pada dua tahun lalu, dia satu satunya penyebab saya jalani hidup setiap hari. 17 tahun yang luar biasa hidup bersama dia melalui semua pencapaian dan kesusahan saya.
“Bagi saya kehidupan hanya bekerja keras untuk dia dan menyediakan apa yang saya mampu. Tapi selepas dia meninggalkan kita, saya tidak tahu apa sebenarnya kehidupan sehingga hari ini,” tulisnya.
Kenyataan tersebut dikongsikan pelakon drama, Bukan Kahwin Paksa itu menerusi akaun Instagram miliknya.
Dalam pada itu, Alya turut mendedahkan dia masih berpegang teguh dengan pesanan arwah bapanya untuk sentiasa meletakkan sepenuh kepercayaaan kepada Allah SWT.
“Dia mengajar saya bahawa Allah akan sentiasa ada untuk anda melalui semuanya kalau anda setiasa percaya kepada-Nya. Hari Ini sepatutnya usia dia sudah mencecah 67 tahun kalau dia masih hidup, saya terlalu rindukannya.” kongsinya lagi.
Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat buat Alya selain turut menitipan doa buat bapanya itu yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-67 pada tanggal 31 Oktober lalu.
Sumber: Instagram Alya Iman