Vokalis kumpulan OAG, Radhi mengakui berdepan dengan masalah kewangan baru-baru ini hingga dirinya hampir mahu membuat pinjaman dengan along.
Jelasnya seperti yang dipetik Harian Metro, dia merancang untuk berbuat demikian kerana tidak mempunyai wang bagi menjelaskan sewa rumah dan kehabisan duit poket.
Bagaimanapun, bapa tunggal ini bersyukur kerana ia tidak berlaku.
“Saya hilang punca pendapatan apabila kumpulan OAG berehat daripada membuat persembahan. Malah, fikiran saya juga tidak menentu membuatkan semuanya jadi kucar-kacir.
“Ditambah pula dengan hutang sewa rumah dua bulan tidak berbayar menyebabkan saya terpaksa menghubungi beberapa syarikat pinjaman wang tidak berlesan untuk meminjam RM10,000 namun bersyukur Allah melindungi saya apabila permohonan itu tidak diluluskan,” katanya seperti yang dipetik.
Terdahulu, Radhi ditemui media pada majlis sidang media Tempatan Fest Universe 2019, pada Khamis.
Sementara itu Radhi turut menjelaskan, dia bersyukur kerana ketika dirinya buntu memikirkan soal kewangan, dia bertemu dengan insan tepat pada waktu, atas kehendakNya.
Malah, kerjaya seninya juga akan lebih tersusun selepas ini apabila bakal diuruskan syarikat sama.
“Bayangkan ketika tertekan untuk mencari duit, Allah hantar individu yang memiliki syarikat percetakan dan berbesar hati membantu saya menjual baju eksklusif kumpulan OAG, The Last Chapter.
“Alhamdulillah, dalam tempoh dua minggu baju itu sudah terjual dan saya dapat membayar beberapa hutang yang tertunggak. Insya-Allah syarikat Famsy ini juga akan menguruskan kerjaya seni saya selepas ini,” akui Radhi.
Dalam perkembangan lain, Radhi memberitahu dia bersama anggota kumpulan OAG lainnya iaitu Amal (gitar), Qi Razali (dram) dan Nazrin (gitar) bakal menghangatkan konsert Tempatan Stage pada 28 Disember ini di Strand Mall, Kota Damansara.
Radhi menjelaskan, persembahan terbabit akan menjadi yang terakhir buat kumpulan berkenaan apabila mereka difahamkan bakal membawa haluan masing-masing selepas ini.
“Konsert ini akan menjadi sebuah acara yang sangat istimewa. Ia akan menjadi persembahan terakhir kami sebelum membawa haluan sendiri.
“Secara peribadi saya merasakan sudah tiba waktunya kami fokus untuk kerjaya solo memandangkan setiap anggota ada perancangan tersendiri,” akhiri Radhi yang bakal mempunyai single sendiri tidak lama lagi.
Foto: Instagram Radhi OAG
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI