Pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36), Aina Abdul terharu jika ada yang memberikan reaksi persaingan sengitnya ialah Marsha Milan bagi kategori berkenaan.
Aina berkata, jika ada yang memberikan pendapat sedemikian, ia satu penghargaan besar bagi dirinya.
“Ketika kak Marsha tengah membuat persembahan, saya sedang tukar persalinan untuk lagu seterusnya. Saya ‘kering tekak’, terus minum air,” seloroh Aina.
“Saya hormati Marsha. Malah masih ingat lagi, saya salah seorang peminat yang mengundinya ketika dia bertanding di Akademi Fantasia dulu.
“Jadi untuk bersama-sama denganya di pentas AJL dan kalau dikatakan persaingan sengit (vokal) bersama Marsha, saya rasa itu satu penghargaan. Alhamdulillah,” katanya.
Mengulas mengenai dua persalinan unik yang digayakan, Aina yang turut merangkul trofi Pilihan Penyanyi Popular AJL36 di samping Khai Bahar berterima kasih kepada semua terlibat bersama skuad cantiknya.
“Untuk baju bagi lagu Sepi, ia diinspirasi menerusi persalinan yang dipakai selebriti antara bangsa di majlis anugerah seperti Grammy, Oscar dan sebagainya.
“Malah trofi AJL juga warna keemasan. Jadi kita nak berikan ‘vibe’ seolah-olah kalau tak memang pun, kita sudah rasa seperti juara.
“Ia busana ilham Tsyahmi yang turut mereka pakaian saya menerusi lagu Sumpah di AJL34. Harapnya ramai yang suka dengan penampilan saya hari ini,” katanya.
Aina turut berkongsi gaun yang dilatari dengan bungaan segar menerusi lagu Nafas Cinta pula hasilan pereka terkenal, Melinda Looi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.