Penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein mendedahkan dia dan suami, Mohamad Azlan Che Nuh tidak mahu terburu-buru atau terlalu meletakkan harapan tinggi dalam soal cahaya mata.
Ini kerana, pelakon Kampung People ini mengakui percaya akan perancangan Allah yang sudah tertulis untuknya sekeluarga.
Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi bagaimanapun akan berkongsi berita gembira kepada semua andai dikurniakan rezeki untuk hamil lagi selepas ini.
“Saya ikut kata orang tua… kalau baru atau belum apa-apa, tak perlu kongsi lagi. Insya-Allah kalau sampai masa, ada berita gembira sudah tentu saya akan kongsi dengan semua orang.
“Sebenarnya kalau kita terlalu mengharap, mungkin susah nak dapat. Jadi, kita santai saja sebab Allah akan susun baik untuk kita nanti.
“Yang penting, jangan terlalu fikir sebab kalau fikir akan tertekan,” jelas bintang berusia 39 tahun itu.
Pada masa sama, Elly memilih untuk tidak terlalu memikirkan soal tersebut dan berserah pada Yang Maha Kuasa.
“Kita ikut apa yang Allah dah susun sebab Allah sebaik-baik perancang. Tak apa, kita berserah kepada Allah, berusaha dan jalani kehidupan macam biasa serta jangan stress.
“Insya-Allah akan ada. Cuma cepat atau lambat,” katanya lagi.
Terdahulu, Elly ditemui ketika sidang media selepas konsert tribute #SandraDalamKenangan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada malam, Ahad.
Elly mendirikan rumah tangga dengan Azlan yang juga merupakan seorang guru pada 18 Januari lalu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Penyanyi Merry Go Round ini turut mempunyai seorang anak perempuan bernama Putri Sara Sefhia yang kini berusia empat tahun hasil daripada perkahwinan pertamanya dengan pengarah drama, Azmi Hatta.
Foto: Instagram Elly Mazlein