Hazelina Mat Jalil iaitu ibu kepada penyanyi, Aiman Tino tampil memohon maaf kepada netizen atas hal yang berlaku baru-baru ini, yang turut melibatkan anaknya itu.
Dia yang mesra disapa Riena turut memaafkan semua pihak yang mengecam, mengharapkan agar perkara yang berlaku sebelum ini tidak mempunyai sebarang ‘dakwa mendakwa’ di akhirat kelak.
“Alhamdulillah terima kasih kepada yang memberi nasihat, pendapat dan semangat,” tulisnya menerusi satu status yang dikongsi melalui Insta Story.
Riena turut berterima kasih kepada mereka yang menitipkan nasihat sepanjang kemelut yang berlaku.
“Terima kasih syukur dapat kenal anda semua,” tulisnya lagi.
Sementara itu menerusi platfrom sama, Riena ada memuat naik beberapa foto bersama anak serta kedua ibu bapanya dengan mengucapkan kata sayang.
Malah menerusi salah satu fotonya bersama Aiman, penyanyi tersebut dilihat turut memberikan respon sama.
Terdahulu, Riena menerusi Instagram meluahkan perasaan terkilan dengan Aiman yang didakwa berubah sehingga mengabaikan kerjaya seni selain memberi bayangan hidup anaknya itu dikongkong seorang wanita.
Namun, Aiman kemudiannya tampil memohon maaf dan mengakui kesilapannya yang mendakwa ia hanya salah faham dan berpunca daripada khilafnya sendiri.
Foto: Instagram Hazelina, Aiman Tino