Pelakon meningkat naik, Arabella Ellen
menepis dakwaan segelintir pihak yang mengatakan pemilihannya selaku pelakon utama bagi drama terbaharu, Dari Mata Turun Ke Hati hanya kerana memiliki wajah Pan Asia.
Menurut Arabella atau nama sebenarnya, Arabella Ellen John Robert Nelson, dia juga menjalani sesi casting sama seperti pelakon-pelakon lain dan bakat mereka telah pun dinilai.
“Pada saya, bakat juga memainkan peranan. Jika anda bagus, pasti ada peluang. Semua barisan pelakon menjalani sesi uji bakat termasuklah saya juga untuk watak Iris Sofea ini.
“Malah, sesi casting ini juga turut diadakan buat pelakon-pelakon lama. Bila saya dapat pegang watak ini, saya sangat berbangga dengan diri sendiri.
“Pada masa sama, saya juga harus buktikan kepada semua pihak dengan cara menjayakan watak ini sebaik mungkin,” katanya kepada MH.
Naib juara Hero Dewi Remaja 2023 itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media drama Dari Mata Turun Ke Hati, baru-baru ini.
Pada masa sama, Arabella akui dirinya terpaksa berdepan pelbagai cabaran untuk membawakan watak ini namun ia tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk memberikan yang terbaik.
“Agak mencabar juga untuk melakon watak ini memandangkan saya merupakan pelakon baharu. Malah, menjayakan projek seperti ini pada usia 19 tahun sememangnya berat.
“Tanggungjawab sebagai gadis buta dan heroin di slot Megadrama ternyata bukan mudah.
“Pada permulaan penggambaran, saya agak struggle juga tapi saya banyak buat rujukan dengan menonton drama asal dari Jepun.
“Malah, Michael Ang pun banyak beri tunjuk ajar. Saya tidak banyak ditegur. Jadi, saya merasakan lakonan saya agak okay juga,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, gadis kacukan Melayu-Inggeris ini mendedahkan dirinya sudah bersedia berdepan dengan sebarang kritikan dan percaya proses tersebut akan mematangkan perjalanan kerjayanya sebagai anak seni.
“Saya sudah bersedia dan saya tidak kisah dengan apa yang akan diperkatakan oleh orang luar. Saya sudah pun bekerja keras untuk drama ini dan diharapkan agar mereka suka dengan watak saya.
“Janganlah tengok episod satu sahaja dan terus hentam. Selepas beberapa episod, saya percaya penceritaan drama ini akan lebih menarik. Para penonton pasti akan suka,” akhirinya.
Terdahulu, drama arahan Michael Ang ini merupakan sebuah karya yang diadaptasi daripada siri popular Jepun iaitu ‘Yankee-kun to Hakujou Garu’ dan komik ‘manga’ ‘Yankee-kun And The White Cane Girl’.
Selain Arabella, drama ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Mierul Aiman, Qistina Khaled, Azhar Sulaiman, Kimberly Chuah dan Ramona Zam Zam.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.