Pelakon terkenal, Nabila Huda mendedahkan dirinya langsung tidak mempunyai niat untuk mempersendakan Masya Masyitah gara-gara meninggalkan komen mempersoalkan gerangan penyanyi muda tersebut.
Hal itu berlaku disebabkan nama Masya menjadi perhatian hangat netizen dan pihak media susulan tindakkannya berkongsi gambar yang memperlihatkan dirinya tidak mengenakan hijab di Instagram minggu lalu.
Ketika ditemui media, Nabila menjelaskan dirinya memang tidak mengenali Masya kerana jarang mengikuti perkembangan berita semasa.
“Saya memang tiada niat apa-apa. Saya ni bukan jenis yang suka carut orang dan saya jarang tengok media sosial atau ikuti perkembangan berita.
“Hidup saya yang anda nampak di media sosial begitulah. Hanya duduk di rumah, main dengan kucing, makan, masak, kongsi fasal anak dan suami. Jadi, saya memang tak tahu apa-apa.
Jadi, bila saya tengok berita di media sosial, saya jadi tertanya-tanya. Kemudian, saya komen dekat Instagram berita itu ‘Siapa pula Masya Masyitah ni? Kenapa saya tak tahu?’,” ulasnya.
Dalam pada itu, anak kepada penyanyi terkenal, Amy Search berharap agar komenya itu tidak dijadikan isu kerana merasakan dirinya juga berhak bersuara.
“Kenapa tak boleh? Saya juga seperti manusia biasa yang lain. Saya juga boleh memberikan komen atau bercakap apa sahaja. Namun, saya tiada pun cakap yang buruk-buruk.
“Kadang-kala, bila saya komen di mana-mana portal berita atau blog untuk bertanyakan sesuatu, akan ramai netizen yang akan tolong jawab.
“Selalu saya akan terima banyak komen balas dan mereka pula terangkan mengenai soalan saya itu. Dari situ, saya dapat info lengkap. Tak perlu tanya orang lain,” ujarnya lagi.
Jelas Nabila lagi, ada kalanya, dia juga terlupa dengan komen-komen yang telah ditinggalkan disebabkan terlalu sibuk menguruskan kehidupan seharian.
“Kadang pula, bila saya dah taip komen itu, lalu, saya lupa. Saya teruskan kehidupan seperti biasa,” akhirinya.
Terdahulu, Nabila kini sedang sibuk mempromosikan filem terbarunya yang berjudul Rahsia.
Rahsia merupakan fliem reboot yang dibikim semula daripada karya asal yang diterbitkan pada tahun 1987.
Selain Nabila, filem ini juga menampil barisan pelakon seperti Fikry Ibrahim, Emma Manan dan Qistina Raisah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.