Baru-baru ini, isu mengenai Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menjadi perdebatan hangat di media sosial.
Ramai yang beranggapan artis-artis yang mempunya reputasi besar tidak sepatutnya memohon dana kerajaan untuk mengadakan konsert kerana merasakan mereka lebih mudah untuk mencari penaja.
Mengulas mengenai isu tersebut, penyanyi yang juga merupakan penerima DKD, Liza Hanim menyifatkan sesiapa sahaja berhak untuk memohon dana tersebut asalkan menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Menurut Liza, dia berusaha sama seperti orang lain dan bersyukur kerana permohonannya itu telah diluluskan.
“Saya juga seorang rakyat Malaysia yang berhak. Saya sudah terlibat di dalam industri ini bertahun lamanya. Sesiapa sahaja boleh memohon. Saya bukan dapat begitu sahaja.
“Saya buat kertas kerja dan saya sendiri yang bentangkan proposal, bukannya orang lain dengan harapan diterima. Alhamdulillah saya diterima.
“Saya tak rasa hal ini patut dipertikaikan kerana peluang untuk mendapatkan dana ni terbuka kepada sesiapa sahaja yang memohon.
“Segalanya terpulang kepada rezeki. Alhamdulillah ketika ini merupakan rezeki saya,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Gelisah Mimpi itu berkata sedemikian ketika ditemui sidang media konsert minggu pertama All Star Gegar Vaganza baru-baru ini.
Jelas Liza lagi, dana berjumlah RM300,000 masih belum mencukupi untuk menampung jumlah kos keseluruhan penganjuran konsert.
“RM300,000 itu bukan besar nilainya untuk buat konsert. Kalau anda nak tahu, semasa kami buat perbentangan, kami sudah pun menjelaskan kos sebenar untuk penganjuran konsert tersebut.
“Malah, pihak penilai sendiri juga bertanya sekiranya permohonan dana ini diluluskan, apa langkah saya seterusnya kerana mereka pun tahu dana ini tidak akan mencukupi.
“Saya kena berusaha lagi. Bukan boleh terus goyang kaki. Orang mungkin tak tahu. Banyak kos yang diperlukan untuk mengadakan konsert.
“Jadi, kalau kita tak tahu tentang sesuatu perkara itu, sebaiknya tak perlu persoalkan,” katanya yang bakal mengadakn konsert solo tidak lama lagi.
Pada masa sama, Liza juga berpandangan segelintir penggiat seni kreatif tidak mengambil tahu mengenai peluang ini sekali gus mencetuskan persepsi negatif terhadap artis yang menerimanya.
“Sebenarnya, ramai yang tak tahu mengenai dana ini. Oleh itu, mungkin dengan pemilihan kami ini akan membuatkan lebih ramai yang tahu.
“Jadi, mohonlah. Ketika ini pun permohonan sedang dibuka. Jadi, kepada para pembikin konsert yang tak pernah dapat peluang seperti ini, usahakanlah.
“Mohonlah kepada kerajaan kerana ini merupakan inisiatif mereka. Selalu kita tak kejar dan ambil tahu tentang peluang ini.
“Kertas kerja kena kuat. Ini merupakan tahun kedua saya mencuba. Memang tak mudah. Ada yang cuba bertahun-tahun pun belum ada rezeki,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.