Pempengaruh media sosial yang kini bergelar pelakon, Mek Yun menggesa pihak berkuasa mewujudkan undang-undang yang lebih ketat kepada mereka yang sewenang-wenangnya membuli dan melemparkan kata-kata kesat di media sosial.
Menurut Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, dia tidak mahu tragedi menimpa seorang Tik Tokers Esha yang meragut nyawanya sendiri kerana menjadi mangsa buli siber berulang lagi pada masa hadapan.
“Pada saya, isu ini sangat serius sehingga telah meragut nyawa. Kita tak boleh ambil ringan. Pada masa hadapan, saya harap sangat pihak berkuasa akan lebih mengetatkan undang-undang agar perkara seperti ini tidak berulang.
“Orang lain mungkin ingat ia hanyalah sekadar komen, tapi bila kita berada di posisi orang melemparkan kata-kata negatif atau kesat, baru kita akan tahu bagaimana seseorang itu boleh terkesan.
“Kalau hal seperti ini berlaku lagi, kita patut wujudkan satu undang-undang dan hukuman berat jika ada yang memberikan komen kebencian secara melampau,” katanya kepada MH.
Mek Yun berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media drama Perang Nasi Dagang Kelantan VS Ganu yang berlangsung di ibu kota pada Selasa.
Pada masa sama, Mek Yun turur mendedahkan para pembikin konten ini memang terdedah dengan komen-komen negatif dan tidak semua orang mempunyai daya ketahanan mental yang kuat.
“Satu hal mengenai media sosial, kita tak boleh nak kawal ‘keyboard warriors’ dan setiap orang punyai pandangan berbeza.
Mereka boleh cakap apa mereka suka.
“Ada satu ketika, bila saya menerima komen negatif, saya pernah terdetik nak berhenti buat konten. Walaupun hanya satu atau dua komen, ia mampu beri impak.
“Namun, bila saya fikirkan semula, saya rasa tak berbaloi untuk biarkan orang seperti ini mempengaruhi minda kita. Mereka hanya di belakang skrin dan langsung tak kenal kita,” kongsinya.
Selain hina fikizal, Mek Yun turut memaklumkan dirinya ada juga merima komen-komen negatif berkaitan perkauman.
“Saya belum pernah menerima komen-komen kebencian yang terlalu melampau. Namun, kita tak boleh puaskan hati semua orang. Saya ada juga menerima komen dari mereka yang tidak berpuas hati dan berbentuk perkauman.
“Apa yang saya buat, saya tidak akan baca semua itu. Komen paling teruk saya pernah terima adalah hina fizikal. Sebelum ini saya agak berisi. Ada kata saya gemuk dan peha macam ‘drumstick’.
“Namun, saya tidak biarkan komen tersebut menjatuhkan saya sebaliknya saya jadikan ia pembakar semangat untuk turun turunkan berat,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Mek Yun turut menitipkan pesan buat para netizen dan mereka yang ingin menceburi bidang ‘content creator’.
“Satu pesanan saya kepada mereka yang ingin menjadi pembikin konten, kita kena bina benteng dalam kehidupan agar komen-komen negatif ini tidak akan mempengaruhi minda kita.
“Kepada netizen pula, kata-kata anda mampu memberikan impak besar kepada kami sebagai pembikin konten. Fikir banyak kali sebelum nak komen apa-apa.
“Walaupun bagi anda ia perkara kecil, namun kita tak tahu tahap kesihatan mental orang lain. Jadilah orang yang baik dan sebarkanlah hal yang positif agar kita semua boleh mengecap kebahagiaan,” akhirinya.
Terdahulu, drama Perang Nasi Dagang Kelantan VS Ganu bakal mula bersiaran pada 19 Julai ini di saluran Astro Warna.
Selain Mek Yun, drama komedi arahan Issey Fazlisham ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Sabri Yunus, Nora Danish, Adrina Kamaruddin dan Kimal Margasatwa.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.