Pelakon senior, Tengku Sariza Tengku Muzani atau lebih sinonim dengan nama komersialnya, Kuza mendedahkan dirinya bergelar ibu tunggal sejak setahun lalu selepas berpisah dengan bekas suami, Ramyus Sidique.
Bahtera perkahwinan mereka hanya mampu bertahan kira-kira 12 tahun.
Jarang berkongsi cerita melihatkan hal peribadi sebelum ini, Kuza yang juga bekas finalis Dewi Remaja 1990/91 itu juga sejujurnya lebih selesa berbicara mengenai kerjaya seninya, berbanding sisi privasi.
“Saya kini bergelar ibu tunggal, sejak setahun lalu. Perkahwinan saya dengan Ramyus hanya bertahan selama 12 tahun. Itu sahaja yang saya dikongsi.
“Saya sememangnya menjaga hal peribadi sebagai privasi. Saya hanya akan berkongsi sekiranya sesuatu perkara perlu diketahui orang.
“Jika saya rasa tak perlu, lebih baik saya simpan untuk diri sendiri dan keluarga kerana anak saya juga memerlukan privasi.
“Jadi, saya kena hormat pendirian anak untuk mereka menghormati saya,” katanya seperti yang dipetik BH Online.
Menerusi perkahwinan tersebut, mereka tidak dikurniakan cahaya mata. Bagaimanapun, Kuza dikurniakan mempunyai tiga cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu iaitu Nizam Firdaus, 26, Puteri Nazihah, 25, dan Puteri Nadia, 15.
Baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Pelangi Hati, Kuza ditemui media pada majlis pelancaran produk Ali Zahra Madeena, pada Rabu.
Sumber: BH Online