Hiburan

“Saya Kupas Satu Per Satu Agar Tak Tersasar,” -‘Senyawa’ Sentuh Isu Ibu Tumpang, Pengarah Sedia Hadap Kritikan

Share

Pengarah terkenal, Eyra Rahmah akui pada mulanya agak berat hati untuk mengarahkan drama terbaharu berjudul ‘Senyawa’ sewaktu mendapat skrip daripada pihak penerbit, Metrowealth iaitu Jason Teo.

Menurut Eyra, isu yang ibu tumpang yang diangkat di dalam drama ini sememangnya berat kerana ia bercanggah dengan agama.

Namun, selepas sesi perbincangan, dia bersetuju untuk mengarahkan drama ini sebagai pengajaran buat masyarakat.

“Pada mulanya saya mendapat skrip Senyawa ini daripada Jason Teo. Ingatkan naskhah ini bercerita soal anak. Ketika bertemu, Jason maklumkan ia drama tentang ibu tumpang.

“Pada awalnya saya agak terkejut. Saya bagitahu Jason, ibu tumpang ini haram di sisi Islam. Kemudian, berjumpa pula dengan ibu Jason.

“Saya bagitahu yang saya tak boleh buat drama ini. Kalau buat, umpama saya tiada agama.

“Jadi, saya melihat semula isu ini dengan lebih terperinci. Saya kupas satu per satu agar tidak tersasar,” katanya kepada MH.

Eyra berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media drama ‘Senyawa’ yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Rabu.

Katanya lagi, dia juga sudah bersedia untuk berhadapan dengan respon-respon daripada netizen meskipun drama ini sarat dengan mesej-mesej yang positif.

“Kita tak nak orang tengok drama ini dan mengatakan kami menyokong perbuatan ibu tumpang ini.

“Dalam skrip ini, kita selitkan juga hukum-hukum agama. Terangkan juga mengapa ibu tumpang ini haram.

“Namun, kerana status dan desakan hidup, watak utama dalam drama ini sudah tidak memikirkan fasal hukum agama.

“Sebagai manusia, bila kita mengutamakan nafsu dan kehendak, kita melupakan haram dan halal ini. Itu yang saya nak tonjolkan. Jadi, saya sudah bersedia dengan apa sahaja respon penonton,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai cabaran sepanjang menjayakan drama ini, ini reaksi Eyra;

“Naskhah ini sangat berat. Ia menuntut perasaan dan mental yang kuat daripada barisan pelakon. Drama ini sarat dengan emosi

“Untuk kekalkan perasaan itu daripada Trisha dan Siti Hariesa agak mencabar. Namun, saya sentiasa percaya mereka mampu buat yang terbaik.

“Mereka juga harus mempercayai saya agar drama ini mampu menjadi naskhah yang terbaik,” akhirinya.

Terdahulu, drama Senyawa ini dibintangi barisan pelakon-pelakon hebat seperti Shahz Jaszle, Trisha Ooi, Siti Hariesa, Datin Nina Juren dan Aleza Shadan.

Senyawa bakal ditayangkan bermula 25 Oktober ini, pada Jumaat dan Sabtu jam 9 malam di platform penstriman Iqiyi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf