Memegang watak sebagai Mia Sara di dalam drama terbaru Cina Buta, pelakon, Nad Zainal mendedahkan dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk melakokan drama-drama yang mengangkat kisah tentang penceraian rumah tangga.
Menurut Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, dia langsung tidak terkesan kerana menyifatkan suasana di set penggambaran sangat positif.
“Sejak drama Hati Yang Tersakiti, kemudian ada back to back drama lain, semuanya berkisarkan tentang saya diceraikan. Malah, dalam dunia realiti pun begitu juga.
“Namun, saya sejenis yang tidak suka bercerita mengenai kisah peribadi tapi mungkin sedikit sebanyak apa yang berlaku di dalam drama itu seperti satu persiapan untuk saya.
“Jadi, saya tidak rasa terkesan. Saya okay sahaja di set penggambaran. Set ini juga sangat-sangat positif walaupun ketika itu saya sedang melalui satu fasa yang sukar. Saya tak rasa terbeban kerana mereka sangat supportive,” katanya kepada MH.
Pada masa sama, pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2018 itu turut memberitahu, ada juga beberapa babak didalam drama ini yang diambil daripada kehidupan sebenarnya.
“Saya tak boleh bagitahu yang mana satu kerana terlalu personal. Cukuplah saya tengok dan ketawa sendiri. Saya pun tak sangka Abang Shahrulezad akan gunakan idea tersebut.
“Saya cuma ingin membantu pengarah kerana dia tak pernah berkahwin. Jadi, dia pun tanya tentang isu-isu remeh yang selalu buat pasangan rumah tangga bergaduh,” kongsinya lagi
Nad berkata sedemikian ketika ditemui dimajlis sidang media drama Cina Buta yang berlangsung di ibu kota pada Jumaat.
Bercakap mengenai imej terkininya yang tampil anggun berhijab, ibu kepada dua orang cahaya mata ini berharap agar semua pihak dapat mendoakan yang terbaik buat dirinya.
Bagaimanapun, dia tidak boleh mengulas lanjut mengenai hal tersebut kerana masih punya komitmen kerja yang memerlukan dia untuk tidak berhijab.
“Tentang imej saya ketika ini, saya tak boleh nak mengulas panjang. Rasanya cukuplah kalian mendoakan yang terbaik buat saya. Saya masih lagi dalam proses belajar.
“Lagipun, saya punyai dua komitmen kerja yang memerlukan saya untuk tidak bertudung. Apapun, saya gembira dengan apa yang saya pakai sekarang dan berharap dapat teruskan lagi pada masa hadapan,” ujarnya lagi.
Ketika ditanya adakah dia akan lebih selektif dalam soal pemilihan watak selepas ini, Nad memberitahu dia percaya dengan perancangan Allah SWT.
“Selepas ini, mungkin ada sesetengah produser atau pengarah yang akan berasa sedikit susah untuk memberikan watak andai seseorang pelakon itu dah bertudung.
“Cuma, saya rasa ia tidak akan jadi masalah. Saya tengok pelakon-pelakon lain pun masih diberikan kepercayaan seperti Noor Khiriah. Siap dapat watak antagonis lagi.
“Saya pun masih belajar. Saya pun tak la cepat nak mengatakan tidak. Saya juga tak mahu beri kesukaran kepada pihak produksi. Kita berubah perlahan-lahan,” akhirinya.
Terdahulu, selain Nad, drama arahan Shahrulezad Mohameddin ini turut membariskan ramai pelakon-pelakon hebat antaranya Ungku Ismail, Aliff Aziz, Puteri Aishah, Azhan Rani dan ramai lagi.
Cina Buta bakal menemui penonton bermula 9 November ini pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam, di slot Mega Drama Astro Ria (104) atau Astro Go.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.