Meskipun baru beberapa tahun menceburi bidang seni dan boleh dianggap sebagai hijau, pelakon Mierul Aiman mendedahkan dia tidak pernah berhadapan dengan situasi dibuli oleh pelakon senior atau pihak produksi.
Sebaliknya, Mierul mahu berterima kasih kepada semua pelakon-pelakon senior yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini kerana telah memberikan banyak tunjuk ajar dan ilmu tentang dunia lakonan.
“Saya tak pernah melalui pengalaman seperti itu. Pada saya, kita kena tahu untuk beradaptasi dengan budaya kerja sebagai pelakon.
“Dua era berbeza ini sebenarnya saling bantu-membantu untuk diri masing-masing. Mereka kaya dengan pengalaman. Kita kaya dengan tenaga.
“Kalau kita ikatkan kedua-dua faktor ini, ia akan menghasilkan sesuatu yang pastinya akan memberi impak.
“Orang-orang lama dan berpengalaman dalam bidang lakonan ini sememangnya banyak membantu saya dari segi memberikan semangat dan ilmu. Saya memang laparkan perkara itu,” katanya kepada MH.
Juara Hero Remaja 2021 itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan bersama episod akhir drama Projek; Exit yang berlangsung di KLCC, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Ditanya adakah sukar buat pelakon-pelakon baharu ini untuk mendekatkan diri dengan para pelakon senior, Mierul berpandangan cara kerja seseorang itu sangat memainkan peranan.
“Ini bukan fasal pelakon lama atau baharu. Dalam dunia lakonan pun tiada hal seperti itu. Setiap orang yang kita bekerjasama , kita akan diberikan watak yang sudah tertulis di dalam skrip.
“Setiap pelakon akan menjadi segar dalam setiap naskhah yang diberikan. Pada saya, situasi akan menjadi mencabar kalau kita tidak betul-betul teliti.
“Pada saya, cara kita untuk mengikat jiwa pelakon-pelakon lain ini adalah dengan memberikan yang terbaik terutamanya dalam soal skrip dan memahami naskhah.
“Insya-Allah semuanya akan dipermudahkan ketika penggambaran,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Mierul akui teruja selepas Projek; Exit sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi drama yang mempunyai jomlah tontonan tertinggi bagi siri terbitan Astro Original dan francais ‘Projek’.
“Tidak lain dan tidak bukan, perasaan saya sangat gembira. Objektif sebagai seorang pelakon, kita kena bawakan watak-watak itu mengikut arahan skrip dan pengarah.
“Bila kita satu tentang kejayaan Projek; Exit yang mencipta satu lagi sejarah, saya percaya segalanya bermula bila kita betul-betul teliti dan memahami skrip.
“Ia secara tidak langsung memberikan saya motivasi untuk terus memberikan kualiti lakonan yang terbaik,” akhirinya.
Terdahulu, dua episod terakhir Projek; Exit kini sudah boleh mula ditonton di platform penstriman Astro Go (On Demand) dan sooka.
Project; Exit juga ditayangkan satu episod setiap minggu di Astro Premier (saluran 110) dan Astro Citra (saluran 108).
Selain Mierul, drama sarat emosi ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Shasha Abedul, Naim Daniel, Kimberly Chuah dan Nabila Huda.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.