“Saya Lebih Sanggup Bersabar Dan Tunggu Waktu Sesuai,” – Harap Semua Dapat Sesuaikan Diri Dengan Normal Baru, Neelofa Turut Tangguh Hasrat Ke Indonesia

Share

Neelofa berharap agar pengalaman melakui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasa di negara ini lebih dua bulan lalu mampu mengajar kita untuk menyesuaikan diri dengan normal baharu.

Ia juga dilihat sejajar dengan langkah kerajaan bagi mengekang penularan COVID-19.

Katanya lagi, musibah yang melanda ketika ini mencipta satu perwatakan baru buat rakyat Malaysia supaya lebih bertanggungjawab dan berhati-hati.

“Dalam tak sedar musibah yang berlaku ini mencipta perwatakan baru untuk orang ramai supaya lebih menjaga kebersihan dan berhati-hati. Ini kerana, apa yang dilalui sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi banyak pengajaran seperti betapa sukarnya hidup apabila tidak boleh keluar bekerja dan ‘berkurung’ di dalam rumah.

“Selain itu, normal baharu yang perlu diikut ini juga adalah persiapan supaya kita tidak terlalu selesa dengan apa yang kita nikmati sebelum ini.

“Tak kisahlah besar mana empayar perniagaan seseorang itu atau kejayaan yang dicipta, namun setiap orang kini perlu menjaga diri masing-masing untuk hari yang kita tidak duga ini,” jelas Neelofa seperti yang dipetik.

Bekas hos MeleTop ini pada masa sama turut mengharapkan agar setiap orang tidak mementingkan diri sendiri sebaliknya perlu berganding bahu untuk memerangi Covid-19.

“Jangan terlalu yakin kita tidak akan terkesan sebab sudah terbukti banyak perniagaan yang terpaksa ditutup tanpa mereka sangka.

“Justeru, saya harap kita semua perlu bersatu dan memastikan agar setiap daripada kita mengambil tanggungjawab untuk menjaga diri dan memastikan normal baharu ini diikuti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Neelofa yang pernah berkongsi untuk merancang membina kerjaya di Indonesia turut mengakui, dia terpaksa melupakan hasrat itu buat seketika waktu.

“Saya tidak tahu bilakah waktu yang sesuai untuk saya pergi semula ke Indonesia sebab tidak tahu keadaan di sana. Jika di sini pun masih belum pulih apatah lagi di sana.

“Saya enggan ambil sebarang risiko hanya disebabkan nak bina kerjaya di sana. Saya lebih sanggup bersabar dan tunggu waktu yang sesuai,” akhiri bintang ini.

Sumber/Foto: Harian Metro/Instagram Neelofa

Published by
MH