Susulan ramai yang mengkritik dan mempersoalkan mengenai seksualitinya hanya kerana caranya mengekspressikan fesyen, penyanyi dan pempengaruh, Agy menegaskan dia tidak pernah terdetik untuk mengubah jantinanya itu.
Menurut Agy atau nama sebenarnya, Muhammad Affizy Mohd Khairy, mungkin disebabkan bentuk wajahnya yang agak unik membuatkan ramai yang berasa keliru.
“Perkara ini timbul mungkin disebabkan dahulu rambut saya pendek. Kini rambut sudah panjang dan nampak agak feminin. Ada istilah untuk wajah saya iaitu ‘androgynous’.
“Ada tak boleh nak salahkan saya kerana punyai wajah seperti ini. Saya tak pernah ubah dan ni wajah asli. Kalau nak kata fasal bersolek, ramai lelaki yang bersolek sekarang.
“Mungkin disebabkan feature saya ini kelihatan seperti diantara lelaki dan perempuan, orang jadi keliru. Namun, jujur saya katakan, saya tak pernah ada niat nak jadi perempuan,” katanya kepada MH.
Agy berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media dan tayangan perdana muzik video lagu terbaharunya yang berjudul Unos Dos Tres di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Pada masa sama, Agy menyifatkan setiap
orang mempunyai pandangan yang tersendiri dan dia tidak boleh mengawal perkara tersebut.
“Saya adalah lelaki. Cuma personaliti saya seperti ini. Saya harap orang ramai boleh terima saya seadanya. Takkan la saya nak kena buat pembedahan untuk tanam jambang atau ubah bentuk muka.
“Ini semua soal penerimaan masing-masing. Ada sahaja perempuan yang muka seperti lelaki.
“Pada saya, isu ini mudah sahaja cuma netizen yang suka cari kesalahan. Saya diam sahajalah,” ujarnya lagi.
Ditanya adakah dia pernah berasa tersinggung dengan komen-komen negatif lebih-lebih lagi bila ada yang menggelarkannya sebagai ‘pondan’, ini reaksi Agy;
“Saya tak terasa langsung tapi ia membuatkan ibu bapa dan keluarga saya terasa. Umur saya sudah pun 30 tahun, takkanlah baru nak jadi pondan.
“Namun, bila kita bercakap tentang fesyen, ramai sahaja fesyen lelaki yang lebih kurang dengan saya. Cuma feature mereka jelas lelaki.
“Mungkin ini rezeki saya dapat feature yang unik. Jadi, saya kena terima diri saya dan buat sahaja apa yang saya nak. Sebab itulah saya keluarkan lagu ‘Unos Dos Tres’. Ia melambangkan diri saya,” kongsinya lagi.
Mengulas mengenai single terbaharunya yang berjudul Unos Dos Tres, Agy menyifatkan ia merupakan kemunculan semula buat dirinya apabila sebelum ini pernah menceburkan diri dalam bidang muzik.
“Sebelum Agy dikenali, nama pentas saya adalah Affizy Khairy. Saya sebenarnya bukan bermula sebagai influencer tetapi sebagai penyanyi.
“Mungkin ketika itu bukan rezeki saya lagi. Jadi, apabila diberikan rezeki dengan pelbagai pendedahan selepas bergelar influencer, ia membuka ruang untuk saya kembali menyanyi.
“Lagu ini tentang menjadi diri sendiri, tampil berbeza, unik dan mencari keyakinan,” akhirinya.
Karya ciptaan komposer Mas Dewangga dan Jova Devito itu kini boleh didengari di seluruh platform penstriman manakala muzik video pula baru sahaja dilancarkan di platform Youtube pada Jumaat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI