“Saya Mahu Buktikan Penyanyi Malaysia Juga Ada Sesuatu,”- Sepentas Dengan David Foster, Ini Titip Siti Nurhaliza

Share

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akui terharu dengan sorakan dan tepukan gemuruh para penonton selepas selesai membawakan lagu Power Of Love nyanyian asal penyanyi terkenal dunia, Celine Dion di konsert Hitman David Foster & Friends malam tadi.

Menurut Siti, dia mahu membuktikan penyanyi Malaysia juga mempunyai kualiti yang baik dan mampu bersaing dengan penyanyi-penyanyi antarabangsa.

“Alhamdulillah, Allah tolong saya dan semuanya kerana anda yang berada di sini malam ini.

“Anda yang memberikan saya semangat untuk buktikan yang penyanyi Malaysia juga mempunyai kehebatan yang tersendiri,” katanya.

Disebabkan tepukan gemuruh itu, komposer dan penulis lagu terkenal, David Foster turut sempat berseloroh dengan mengatakan para penonton harus memberikan kredit yang lebih kepadanya kerana dia yang menciptakan lagu ikonik tersebut.

“Saya hanya nak ingatkan anda satu perkara, dia (Siti Nurhaliza) tak tulis pun lagu itu. Saya yang tulis.

“Nyanyi awak begitu indah sekali. Awak menyanyikannya dengan bagus,” selorohnya.

Dalam pada itu, ibu kepada dua orang cahaya mata ini turut menyifatkan peluang berada sepentas bersama David Foster ibarat mimpi jadi kenyataan.

“Terima kasih kerana menjemput saya dipertunjukkan awak malam ini (Isnin). Saya sangat gembira kerana saya dapat sekali lagi bersama dengan insan yang saya kagumi.

“Ia merupakan mimpi jadi kenyataan untuk berada di satu pentas bersama David Foster dan menyanyikan lagu beliau,” ujarnya lagi.

Bukan setakat itu, David Foster bersama seluruh pemuzikya turut mengiringi Siti untuk menyanyikan salah satu lagu di dalam album terbaharunya, Sitism yang berjudul Seindah Matahari.

Selain Siti, Konsert Hitman David Foster & Friends ini turut menampilkan barisan penyanyi popular antarabangsa seperti Loren Allred, Peabo Bryson, Katharine McPhee dan Michael Bolton.

Penyanyi, Loren Allred membuka tirai persembahan dengan menyayikan lagu popularnya, Never Enough yang juga merupakan lagu runut bunyi bagi filem The Greatest Showman.

Loren kemudiannya bergandingan bersama Peabo Bryson untuk membawakan lagu A Whole New World yang dipetik daripada filem Aladin 2019.

Dalam pada itu, seluruh penonton seakan mengimbau memori ketika zaman kanak-kanak apabila Katharine McPhee berduet bersama Peabo untuk menyanyikan lagu daripada animasi popular Disney, Beauty And The Beast.

Suasa romantis turut menghangatkan segenap ruang di Megastar Arena saat penyanyi popular era 80-an Micheal Bolton naik ke pentas.

Meskipun usianya sudah mencecah 70 tahun namun, kualiti vokalnya saling tidak tumpah seperti zaman mudanya ketika membawakan lagu When A Man Loves A Women, Said I love You But I Lied, Georgia On My Mind dan How Am I Supposed To Live.

Sebagai persembahan penutup, paduan suara Loren dan Katharine membuatkan penonton terpaku melihat mereka bergandingan menyanyikan lagu madley daripada penyanyi popular Hollywood, Whitney Houston menerusi album Bodyguard.

Konsert Hitman David Foster & Friends sememangnya berada di kelas yang tersendiri. Susunan muzik serta kualiti vokal yang mantap yang ditunjukkan barisan penyanyi membuatkan para penonton meninggalkan dewan dengan rasa puas hati.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf