Hiburan

“Saya Mahu Kelihatan Tenang…,” – Pilih Kebarung Moden & Bawa Bas, Aina Abdul Tampil Sederhana Demi Ibu

Share

Penyanyi, Aina Abdul, memilih busana kebarung moden semasa sesi karpet merah Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-36, hari ini bagi menghormati permintaan ibu yang mahukannya tampil lebih sederhana,

Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 30, mendapat sentuhan pereka fesyen Amazae memilih baju berwarna ‘gilver’ iaitu campuran warna emas dan silver untuk acara malam ini.

“Tahun ini ibu minta saya pakai baju lebih sopan dan sederhana. Saya mahu semuanya kelihatan tenang, tidak keterlaluan agar ramai orang sayang.

“Ibu tidak mahu saya dikecam hebat seperti tahun lepas kerana fesyen yang saya bawakan,” katanya.

Aina mengulas mengenai pemilihan pakaian yang dilihat berbeza dengan penampilannya yang sering dikaitkan dengan gelaran ‘Ratu Fesyen Pelik’.

Penyanyi Sumpah itu turut mencuri perhatian apabila tiba di perkarangan Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan menaiki sebuah bas persiaran yang tertera tarikh konsert Imaji.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk melakukan promosi konsert jelajah Imaji.

“Ada 30 orang peminat di dalam bas tadi yang saya bawa bersama hadir ke acara ini,” tambahnya.

Tercalon untuk kategori Penyanyi Wanita Popular malam ini, Aina bagaimanapun enggan terlalu memikirkan kemenangan.

“Soal memang atau tidak, itu saya tolak tepi.

“Apa yang penting, saya mahu bergembira dan berikan sokongan kepada penganjur majlis hari ini,” jelasnya.

Tahun lalu, Aina tiba di acara karpet merah dengan menaiki lori lutsinar dan memakai baju blazer ukuran besar berwarna merah selebar empat kaki.

Published by
Aizam Manaf