Penyanyi dan vokalis kumpulan Def Gab C, Asheed berlapang dada selepas namanya diumumkan sebagai peserta tersingkir sekaligus gagal lolos ke saingan separuh akhir Gegar Vaganza 9 (GV9), minggu hadapan.
Menurut Asheed atau nama sebenarnya, Mohd Ashid Ahmad, 49, berkata dia berpuas hati dengan persembahannya menerusi program realiti hiburan itu.
“Saya ambil peluang untuk sertai GV kerana sebelum ini jarang orang beri komen terhadap nyanyian saya. Orang puji, kata suara sedap suara unik apa semua, tapi tak ada yang komen. Jadi saya mahu mendengar (juri) komen.
“Itulah yang saya mahu, dan saya puas hati. Berjaya sampai ke minggu ke sembilan ini pun, alhamdulillah. Banyak juga ilmu yang dapat” katanya kepada MH.
Ditanya apa kelemahan paling diingati yang dimaklumkan pihak juri kepadanya, Asheed mengakui dia tidak pernah lelah untuk terus belajar dalam bidang yang diminatinya ini.
“Macam contoh sebelum ini saya menyanyikan lagu Bahasa Inggeris, ada teguran membina daripada juri, macam tadi pun ada. Bunda (Hetty Koes Endang) menyentuh mengenai penghayatan saya yang kurang.
“Walau tahun depan umur saya 50 tahun, tidak semestinya saya tak boleh belajar. Mungkin pada masa akan datang rezeki saya akan cerah, siapa tahu.
“Contohnya buat lagu, meletup balik macam dahulu. Jadi untuk hal berkaitan ilmu ini, tak rugi kalau kita belajar,” katanya yang turut akui resam pertandingan, pasti akan ada yang tidak bernasib baik.
Terdahulu, Asheed yang menyampaikan lagu Lena Diulit Intan yang dipopularkan oleh Wings hanya memperoleh 58.60 peratus markah, menduduki tempat yang paling rendah minggu ini.
Sementara itu, persembahan bertenaga Shila Amzah ketika menyampaikan lagu Survivor dari Destiny’s Child pula berjaya meraih markah tertinggi iaitu sebanyak 85.30 peratus.
Kesemua bintang GV9 diadili juri profesional terdiri daripada Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.