Pelakon dan penyanyi Aliff Aziz percaya dengan rezeki Allah SWT meskipun ada pihak yang mengatakan kerjayanya bakal hancur selepas bercerai dengan Bella Astillah.
Menurut Aliff, dia kini mahu muhasabah diri dan berusaha berubah ke arah yang lebih baik.
“Satu perkara yang selalu saya percaya, rezeki saya dan kita semua ada di tangan Allah. Jika Allah kata ada rezeki, pasti akan ada.
“Saya kini hanya muhasabah diri. Semoga apa yang berlaku ini akan menjadikan kita lebih baik.
Pada masa sama, Aliff juga bersyukur kerana segala urusan mahkamah pada hari ini telah dipermudahkan.
“Alhamdulillah, segala prosiding hari ini berjalan lancar. Saya berterima kasih kepada pihak peguam saya kerana menguruskan segalanya.
“Saya mengharapkan semua pihak diluar sana mendoakan yang baik-baik sahaja buat saya,” katanya kepada MH
Pada masa sama, Penyanyi lagu Sayang Sayang ini juga bersetuju menyerahkan hal penjagaan anak kepada Bella kerana merasakan wanita itu lebih layak memandangkan dia adalah ibu kandung.
“Bella merupakan ibu kandung. Namun, perkara-perkara lain melibatkan anak-anak, kami akan lalui proses lain nanti.
“Jadi, saya tak mahu bercakap panjang. Apa yang telah dibincangkan di dalam mahkamah, itulah jawapan saya,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun Aliff enggan menjawab ketika ditanya media bila kali terakhir dia berjumpa dengan anak-anaknya.
“Berkenaan anak-anak, saya tak nak komen apa-apa kerana bagi saya ada perkara boleh dikongsikan dan ada yang tak perlu buat masa ini.
“Apa pun saya bersyukur apabila prosiding hari ini semuanya berjalan lancar dan saya berterima kasih kepada ayah kerana menemani saya pada hari ini,” katanya yang ditemui sejurus selesai kes perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur.
Ditanya mengenai hubungannya bersama Bella, Aliff berkata ini bukan masa sesuai untuk bercakap perihal tersebut.
“Ini bukan masa yang sesuai untuk bercakap mengenai hubungan saya dengan Bella tetapi mohon semua beri ruang dan masa,” katanya.
Terdahulu, menerusi prosiding yang berlangsung di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada Khamis, Aliff telah pun menceraikan Bella dengan talak satu.
Pada prosiding perceraian yang berlangsung, kedua-dua belah pihak sebelum ini bersetuju untuk membuat beberapa perjanjian sebelum proses perceraian dilakukan.
Pada 11 Mac lalu, Bella memfailkan perceraian secara ‘fast track’ daripada suaminya itu kerana tiada persefahaman dan ‘mawaddah’ (cinta dan kasih sayang), mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
Bagaimanapun Aliff yang sepatutnya hadir pada sebutan kali pertama kes perceraian mereka pada 13 Mac lalu, tidak hadir kerana urusan kerja selain terbabit dengan penggambaran.
Bagaimanapun pada sebutan kedua perceraian mereka, Aliff enggan melafazkan cerai dan Hakim Syarie Wan Mohd Najib bersetuju untuk kedua-duanya melantik wakil untuk proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Untuk rekod Aliff mendirikan rumah tangga dengan Bella pada 9 September 2016, namun pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh edah.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
Terdahulu pada 9 Mac lalu, dunia hiburan kecoh apabila Aliff dan pelakon Ruhainies ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara.