Penyanyi Emeer Bakri mendedahkan setakat ini dia belum berminat untuk menggunakan teknik pemasaran atau gimik (content) yang bakal memperlihatkan kebodohan dirinya sendiri semata-mata untuk meraih perhatian netizen.
Menurut Emeer atau nama sebenarnya, Mohd Emeer Iskandar Mohd Bakri,27, dia memilih untuk memperkenalkan dirinya dengan cara yang lebih baik demi memastikan bakatnya sebagai anak seni dan single baharu, Fantasia dapat dihargai pencinta muzik tempatan.
“Sebenarnya tak salah nak lakukan sebarang teknik pemasaran. Tetapi janganlah sampai diri sendiri dilihat sebagai kurang profesional.
“Saya sendiri malu untuk menari dan bergelek di TikTok… saya tidak selesa. Sebab jujurnya saya segan nak buat benda-benda macam tu sebab ia akan kelihatan pelik nanti.
“Bila difikirkan balik, itu bukan cara saya. Sebab cara saya untuk promosikan lagu bukan seperti itu. Menari pun saya tak pandai!,” katanya.
Emeer yang pernah menjuarai sebuah program pencarian bakat ketika usianya masih belasan tahun itu juga berharap semoga percaturannya kali ini membuahkan hasil.
Meski percubaan sebelum ini kurang menjadi, namun dia masih lagi optimis memperjuangkan cita-cita atas dorongan kuat keluarga.
“Sejak menyertai dua pertandingan nyanyian, saya ada lancarkan dua buah single. Namun, kedua-dua single tersebut tidak menjadi.
“Tetapi, saya tidak akan pernah berputus asa. Saya harap dengan adanya single Fantasia ini dan teknik pemasaran yang betul menerusi Armani Entertainment Group, kerjaya nyanyian saya akan diberi perhatian, insya-Allah.
“Saya masih tak lelah mencuba pun atas semangat yang diberikan keluarga. Rasa bersyukur dan bertuah kerana dikelilingi mereka yang memahami dan menyambut baik minat kita,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.