Pengacara dan pelakon senior, Datuk AC Mizal, menyifatkan dirinya tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak kerana dia merasakan setiap individu berhak untuk meluahkan pandangan masing-masing.
Meskipun ada pihak yang melabelkan dirinya sebagai pengacara yang suka ‘cakap lepas’, AC bagaimanapun menjelaskan dia hanya mahu menjaga momentum dan tuntutan sesebuah program atau rancangan tv.
“Pandangan orang bergantung kepada diri masing-masing. Ada orang suka dan ada yang tidak. Saya cuba bahagikan perkara yang patut dan tidak patut untuk dilakukan.
“Bagaimanapun, kadang-kadang keadaan bukan memaksa tetapi memerlukan kita untuk menjaga momentum program, rating, semangat penonton dan beberapa aspek lain lagi.
“Perkara-perkara seperti ini sangat subjektif tetapi tidaklah sampai mencarut. Itu teruk sangatlah,” katanya kepada MH.
Pelakon filem, Abang Long Fadil 2 ini berkata sedemikan ketika ditemui di penggambaran program MHThrowback, baru-baru ini.
“Saya masih lagi beragama Islam dan saya tahu apa yang saya lakukan. InsyaAllah saya akan lakukan yang terbaik.
“Mungkin kadang-kadang ada kesilapan yang berlaku. Saya tak boleh kata tiada kesilapan tetapi saya cuba untuk mengelak dari melakukan kesilapan.
“Setiap kali bila saya berada di atas pentas, saya akan pastikan saya sudah bersedia. Saya juga akan pastikan yang saya sensitif dengan permintaan orang dan juga para penonton yang menyaksikan program kendalian saya.
“Bagi saya, itulah antara sebab-sebab sampai sekarang orang masih lagi menggunakan khidmat AC Mizal sebagai pengacara,” katanya lagi.
Menerusi program ini, suami kepada pelakon, Datin Emylia Rosnaida ini akan merungkai pahit manis sepanjang lebih tiga dekat bergelar anak seni, berdasarkan artikel yang disiarkan menerusi Media Hiburan.