“Saya Masih Lagi Single Meski Sudah Berusia,” – Meniti Umur 31 Tahun, Isyariana Akui Soal Jodoh Bukan Lagi Nombor Satu

Share

“Sekarang saya masih lagi single meski sudah berusia.” Itu kata pelakon, Isyariana Che Azmi apabila ditanya mengenai kisah peribadinya ketika ini.

Isyariana, 31, berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan mengenai perkara tersebut kerana keutamannya kini hanya kepada kerjaya seni yang makin bersinar.

“Tak adalah risau sangat, cuma sekarang ini, lebih mahu fokus dengan kerjaya. Sekarang saya sudah berusia 31 tahun.

“Boleh dikatakan, sudah ada yang mulai kenal jadi lebih baik saya betul-betul fokus terhadap perkara yang saya mahu dilakukan terlebih dulu. Jaga tingkah laku dan kerjaya sahaja.

“Kalau selepas ini ada rezeki (jodoh), ada yang nak ‘offer’ meminang ke… bolehlah,” katanya berseloroh.

Ditanya sama ada dia bimbang andai lambat sampai jodoh, penerima trofi Artis Baharu Wanita Popular ABPBH 33 berkata dia lebih selesa menanti.

“Saya tak takut sebab lebih baik untuk kita tunggu seseorang yang tepat, berbanding buang masa dengan orang yang salah. Pengalaman mendewasakan.

“Sebelum ini perhubungan yang hadir bukanlah ‘toxic relationship’, cuma saya sejak dulu tanggung keluarga. Jadi untuk sisi peribadi misalnya soal teman lelaki, perkara itu sudah jatuh nombor dua atau nombor tiga, mungkin keempat.

“Saya anak tunggal namun turut punyai adik beradik tiri. Sebab itulah sekarang saya tumpu pada kerjaya. Ini bermakna ada perkara yang perlu diberikan keutamaan, merekalah nadi hidup saya,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Isyariana kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 65 episod, Hati Yang Dikhianati, yang telah pun bersiaran di Astro Prima.

Turut dibintangi Amar Baharin, ia merupakan adaptasi siri telenovela, Mis Tres Hermanas yang cukup popular pada 2000.

Isyariana berkata, dia membawakan watak Lisa Estrada atau Nur Melissa dalam siri adaptasi terbabit. Bagaimanapun, watak Nur Melisa digambarkan lebih kasar berbanding Lisa yang lemah lembut.

“Saya akui agak tertekan apabila diberi kepercayaan membawakan watak utama dalam drama yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu.

“Paling bimbang jika ada membandingkan watak Nur Melisa dengan Lisa. Walaupun drama Hati Yang Dikhianati hampir 80 peratus sama dengan cerita asal, tetapi watak kami sedikit berbeza.

“Karakter Lisa suka menangis dan sedih tetap ada, cuma Nur Melisa lebih kuat, tetapi tidaklah terlalu bersifat feminin seperti Lisa,” katanya lagi.

Foto: Astro, Instagram Isyariana

Published by
MH