Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada November 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Muhammad, 10, dan Aurora, 7.
Dalam pada itu, pelakon filem Anwar: The Untold Story itu turut menafikan wujud krisis antaranya dan Diana hingga membawa keretakan dalam hubungan mereka.
“Sebenarnya, tiada apapun yang berlaku. Sebagai suami, saya tiada masalah. Tanyalah Diana, apa masalah dia,” ujar Farid ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.
Meski berdepan konflik rumah tangga, Farid berkata, isu yang berlaku tidak mengganggu emosinya.
“Ketika ini, saya sedang sibuk di lokasi penggambaran. Alhamdulillah, fokus saya kini lebih kepada mencari nafkah,” katanya lagi.
Terdahulu, berita kemelut rumah tangga pasangan ini timbul selepas Diana dilaporkan memfailkan permohonan cerai terhadap Farid pada awal bulan ini atas alasan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan).
Permohonan cerai disebut di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di Shah Alam, pagi ini. Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).