Kepada Netizen Yang Belum Kenal, Ini Kata Ifa Raziah; “Saya Memang Terbuka, ‘Outspoken’.”

Share

Selebriti dan usahawan, Ifa Raziah mengakui tidak semua orang boleh menerima atau memahami dirinya melainkan mereka yang benar-benar mengenali rapat.

Lebih 27 tahun dalam bidang seni, Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha,46, mendedahkan dia tidak bersikap hipokrit dan selasa menjadi diri sendiri

“Saya tetap dengan cara saya. Saya memang seorang yang terbuka, ‘outspoken’. Macam netizen yang mungkin bukan kawan saya, saya pun tak kenal siapa.

“Mungkin mereka tak boleh nak terima seadanya Ifa Raziah tu macam mana. Yang orang dalam industri yang sudah berpuluh tahun dengan saya selama 27 tahun, mereka sudah faham saya macam mana.

“Cuma orang di luar industri, netizen-netizen dia tak faham lagi. Baru je nak kenal, mula suka dengan Ifa Raziah,” katanya.

Ifa berkata demikian pada majlis Sidang Media Minggu Usahawan Negara 2022, Festival Fesyen & Kecantikan.

Turut dilancarkan pada majlis sama ialah Starvendors Kedah Raya Fest 2022 di Malaysia Grand Bazaar @ Lalaport, Bukit Bintang City Center pada Rabu.

Sementara itu, penyanyi lagu Ser Ser Ser ini juga tidak mampu menepis sekiranya ada yang cuba menghangatkan isu melibatkan dirinya kerana sedia tahu tak boleh nak puaskan hati semua pihak.

“Dia macam ni, ada benda yang kita suka dan sebaliknya. Kita tak boleh puaskan hati semua orang untuk suka kita. Adakalanya mereka tak suka kita, tapi buat suka.

“Jadi kita layan sahaja. Kalau kata nak suka, atau nak cipta isu jadi viral lantak pi lah. Tapi itulah saya punya kenyataan ikhlas, pandangan dari saya.

“Janganlah dok ingat dengan pandangan netizen sahaja. Pandangan saya pun kena diambil kira juga,” katanya lagi.

Ifa pada masa sama turut meminta ramai membaca keseluruhan cerita selain selidiki terlebih dahulu sebelum membuat spekulasi tidak berasas apabila membabitkan sesebuah isu trending.

Terdahulu, Ifa Raziah meluahkan rasa ralat selepas dikecam netizen susulan satu rakaman video siaran langsungnya dimuat naik kembali oleh pengguna media sosial.

Potongan video yang sudah diedit itu mencetuskan tular selepas dia mendakwa sudah tiga kali pergi mengerjakan umrah meski belum berhijab.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

 

Published by
MH