Tidak mampu membendung airmata sepanjang perkongsian penghijrahannya, pelakon dan penyanyi Nonny Nadirah, berkata, dahulu cintanya terhadap manusia membuatkannya dirinya alpa kepada Allah.
Mengakui percaya akan kebesaran Yang Maha Esa, akan tetapi masih tiada perasaan keberadaan Allah di dalam hidup membuatkannya terus leka dan berbuat dosa ketika itu.
“Sebelum ni kita hanya bercakap mengenai Allah tapi kita tak rasa keadaan yang Dia memang betul-betul wujud.
“Kalau kita percaya Dia ada, baru kita betul-betul akan ada perasaan bersalah, perasaan takut. Sebab itu kita berani buat benda bukan-bukan,
” jelasnya menerusi temu bual di program Salam Hijrah.Katanya lagi, dia percaya kepada kematian dan atas sebab itu dia tidak mahu menyelak ‘kain’ orang lain dan sentiasa muhasabah diri.
“Saya rasa nak bertudung adalah, kita manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan. Apa yang saya selalu pesan kepada diri adalah jangan suka mencari kesalahan orang lain.
“Saya muhasabah diri untuk menjadi orang yang lebih baik, sebab itu saya bertudung. Dan kita percaya mati itu pasti.”
Malah, cinta kepada makhluk melebihi cintanya kepada Allah membuatkan hidup bintang ini terus gelisah.
“Allah nak uji kita bila kita sayang sangat dengan sesuatu itu, seperti makhluk, anytime Dia boleh tarik. Ada seorang kawan berkata, mungkin saya terlalu sayang dekat makhluk ini sehingga saya lupa dengan Dia.
“Saya terus tersentak. Saya tiada jawapan. Saya tak salahkan orang lain. Saya salah diri sendiri. Saya perbaiki diri saya.
“Ya Allah, Kau jadikanlah aku orang yang lebih baik daripada sebelum ini. Kau angkatlah doaku, Kau makbulkanlah doaku. Saya menangis atas tikar sejadah.
“Saya menangis. Saya menangis. Saya menangis. Saya menangis. Saya menangis. Setiap hari saya menangis. Saya merintih dengan Dia.
“Ya Allah, tolonglah aku Ya Allah, tolonglah aku. Ya Allah, tolonglah aku. Aku sakit Ya Allah, aku sakit dan aku sedih,” sesi luahan terhenti beberapa kali apabila Nonny tidak mampu menahan tangisan.
Meskipun risau dengan perubahan penampilan yang mungkin menjejaskan periuk nasinya dalam dunia lakonan, ulasnya, Allah ada perancangan yang lebih baik.
Malah bersyukur peminat terus mendoakannya untuk menjadi yang lebih baik.
“Di mana saya risau, orang boleh terima ke aku bertudung ni. Tapi saya percaya itu dengan izinNya.
“Tapi seorang sahabat saya berkata, apabila kita ingin berubah ke arah yang lebih baik, Allah akan angkat darjat kita kepada yang lebih baik.
“Teruskan mendoakan saya, dan saya akan terus doakan kalian. Semoga kita dapat berpimpin tangan untuk masuk syurga” ulasnya yang turut menzahirkan rasa terima kasih buat Heliza Helmi dan Mila Jirin di atas sokongan dan nasihat untuknya terus istiqamah.
Foto: Facebook Salam Muslim, Instagram Nonny Nadirah