Penyanyi Ayda Jebat tidak mahu memberikan ulasan terperinci susulan insiden pertelingkahan yang berlaku melibatkan adiknya, Fyna Jebat pada awal pagi Isnin.
Ayda berkata, siasatan lanjut masih lagi dijalankan pihak berkuasa.
“Saya mohon maaf, adik saya Fyna enggan beri sebarang ulasan kerana banyak hati yang harus jaga dan atas nasihat polis, biar pihak bertanggungjawab menjalankan tugas,” katanya.
Dalam kejadian di sebuah restoran di Shah Alam, Selangor Fyna didakwa terlibat dalam pertelingkahan bersama madunya iaitu isteri pertama Datuk Zainal Abidin Hassan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan berlakunya kejadian itu dan memaklumkan kedua-dua pihak sudah tampil membuat laporan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan (gaduh gempar) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (AKK) (Kelakuan tidak senonoh tempat awam).
Menghargai semua pihak yang mengambil berat, Ayda memohon agar orang ramai memahami situasi yang sedang dialami adiknya itu.
“Saya berterima kasih kepada semua yang prihatin. Saya mohon semua orang faham situasi yang sedang berlaku serta menghormati Fyna dan semua pihak,” katanya.
Ayda juga memohon doa agar perjalanan mereka di program Famili Duo dipermudahkan.
“Buat masa sekarang, fokus kami hanya dalam program Famili Duo. Saya mohon doa peminat agar semua urusan dipermudahkan,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.