Hiburan

“Saya Mungkin Boleh Mati, Allah Maha Pelindung,” – Shaza Bae & PA Terlibat Dalam Kemalangan

Share

Pelakon, Shaza Bae berkongsi detik cemas selepas kereta yang dipandu oleh pembantu peribadinya l terlibat di dalam kemalangan jalan raya malam tadi.

Menurut Shaza atau nama sebenarnya Shaza Nuriman Mohamad Zamri, kereta yang dipandu pembantu peribadinya itu dikatakan telah berlanggar dengan kereta Perodua Axia yang sebelum itu berpusing kerana dirempuh sebuah kereta jenis Ford Ranger.

“Kejadian semalam selepas pulang daripada penggambaran jam 9.59 malam di Bandar Baru Bangi. Sebuah kereta Ford dipandu sangat laju dan telah melanggar sebuah kereta Axia di hadapan kami.

“Kereta Axia itu berpusing dan telah melanggar kereta pembantu peribadi saya dan turut menyebabkan beberapa kemalangan. Empat buah kereta telah terlibat di dalam kemalangan ini.

“Kereta Axia tersebut dipandu oleh seorang wanita hamil. Kami juga belum tahu status terkininya,” tulisnya.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh juara Dewi Remaja 2019 itu menerusi hantaran di Instagram.

Pada masa sama, Shaza mendakwa pemandu kereta Ford Ranger itu dikatakan memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Pemandu kereta Ford tersebut rupa-rupanya dalam keadaan mabuk. Saya mungkin boleh mati semalam tapi Allah maha Pelindung.

“Moral daripada kisah ini, janganlah memandu jika anda dalam keadaan mabuk. Bertanggungjawablah ketika ingin memandu. Jangan ragut nyawa insan tidak bersalah,” ujarnya lagi.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan artis meluahkan rasa risau selain turut berharap agar Shaza dan pembantunya berada dalam keadaan baik.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

 

Published by
Aizam Manaf