Hiburan

“Saya Nak Bagi Kelainan,” – Guna Gimik Kahwin Untuk Buat Konsert, Siti Nordiana Tak Risau Dikecam

Share

Penyanyi, Siti Nordiana enggan terlalu memikirkan kritikan segelintir pihak yang kurang senang melihatnya menggunakan gimik perkahwinan bagi mempromosikan konsert solonya, ‘Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun’.

Menurut Siti Nordiana atau lebih disapa Nana, tema perkahwinan hanyalah sebagai simbolik keakrabannya bersama para peminat setia.

“Saya tak risau bila ada yang kecam. Bila kita terangkan, saya pasti para netizen akan faham. Konsep yang kita pilih adalah perkahwinan dengan peminat.

“Mungkin ini memberikan sedikit kelainan. Seperti kita sedia maklum, saya punyai peminat yang sangat sayangkan saya.

“Jadi, saya nak hadiahkan sesuatu yang istimewa buat mereka yang telah menyokong saya sejak tahun 1999,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Terus Mencintai ini berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media eksklusif yang berlangsung di ibu kota pada Selasa.

Dalam pada itu, Nana turut memaklumkan dirinya sudah menemukan beberapa calon duet untuk menggalas tanggungjawab menyanyikan lagu ‘berhantu’ Memori Berkasih.

“Kita sudah senarai pendek beberapa nama sebagai artis undangan dan rakan duet. In Sha Allah apa yang saya pilih ini adalah yang terbaik

“Saya pun tahu aura arwah Achik Spin untuk lagu Memori Berkasih ini sangat besar. Jadi, saya akan pilih meraka yang benar-benar mampu membawakan lagu ini dengan baik,” ulasnya.

Sementara itu, ibu kepada seorang cahaya mata ini turut menyuarakan keyakinan dirinya bakal bersedia daripada segi mental dan fizikal meskipun pernah mengalami masalah suara sebelum ini.

“Kondisi suara saya sudah semakin baik setelah saya mendapatkan rawatan. Sudah hampir setahun saya makan ubat-ubatan dan alhamdulillah beransur pulih.

“Saya juga masih menghadiri kelas vokal. Saya hanya boleh berdoa agar segalanya dipermudahkan,” katanya lagi.

Ditanya mengenai soal perkahwinan, Nana memaklumkan tidak pernah menutup pintu hatinya.

“Saya tak kisah bila orang tanya fasal kahwin. Jawapan saya tetap sama, belum ada jodoh lagi. Namun, kita tak tahu apa akan jadi pada masa hadapan.

“Kalau ada jodoh, saya akan terima. Saya kini hanya fokus dengan kerjaya. Sama seperti sejak awal kemunculan saya dalam dunia seni,” akhirinya.

Konsert ‘Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun’ bakal berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur pada 11 Mei 2024.

Tiket bakal mula dijual pada 2 Febuari bermula pada harga RM188 (Paling Comel), RM288 (Memori Berkasih), RM308 (Mainan Cinta) dan RM4888 (VIP Box, 8 Pax Per Box).

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf