Hiburan

“Saya Nak Jadi Macam Michelle Yeoh,” – Kerjaya Awal Sebagai Stuntwoman, Ini Impian Trisha Ooi

Share

Menganggap kerjayanya masih baru, pelakon Trisha Ooi akui tidak mengangka namanya bakal dinobatkan selaku pemenang anugerah Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33), baru-baru ini.

Menurut Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, anugerah tersebut membawa makna yang sangat besar buat dirinya yang memulakan kerjaya sebagai pelakon lagak ngeri.

“Saya mula menceburkan diri di dalam industri ini sebagai pelakon lagak ngeri. Saya ada pasang impian satu hari nanti nak jadi seperti Datuk Michelle Yeoh. Jadi, saya ada bermimpi untuk memegang trofi FFM.

“Tak sangka pula impian itu tercapai seawal ini. Saya hanya mendoakan yang terbaik. Kalau bukan saya yang menang, mungkin kawan-kawan saya.

“Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi tapi alhamdulillah untuk segalanya,” katanya kepada MH.

Ditanya bilakah dia meletakkan sasaran untuk menggengam anugerah, Trisha menyerahkan segalanya kepada yang masa Esa.

“Saya berharap dapat kekal didalam industri ini sebagai pelakon yang baik dan versatil selama yang boleh. Untuk meletakkan bilakah waktu yang sepatutnya saya menang itu, pihak juri lebih arif.

“Namun, ini juga rezeki yang dipinjamkan oleh Allah. Kalau Dia kata hari ini, hari ini jugalah akan terjadi,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon drama Senyawa ini akui tidak dapat menahan sebak saat namanya diumumkan selaku pemenang pada FFM33 yang lalu.

“Saya memang tak dapat menahan sebak. Segan juga saya. Bila di luar orang nampak saya kuat buat filem aksi, bila atas pentas menangis pula.

“Saya memasang impian yang besar dan bekerja dengan sangat keras. Namun, tak adil juga untuk saya kata begitu. Orang lain juga bekerja keras.

“Saya tahu betapa susahnya untuk buktikan kepada diri sendiri dan ahli keluarga yang saya mampu menjadi pelakon terbaik. Ibu juga tidak henti mendoakan saya. Bila doa itu makbul, saya jadi sebak,” kayanya lagi.

Malah, dia berharap agar kemenangan tersebut dapat membuka mata banyak pihak untuk memberikan peluang buat pelakon-pelakon baharu untuk menunjukkan bakat mereka di layar perak.

“Sebagai seorang pelakon baharu, kekuatan saya adalah dalam genre aksi. Sudah tentu saya mahukan para produser dan pemain-pemain industri untuk percaya kepada bakat-bakat baharu seperti saya yang bermula sebagai pelakon lagak ngeri.

“Malah, Jannah Edoro ini juga melalui banyak liku-likunya. Bila filem ini ditayangkan, promosinya juga tak kuat. Ramai yang tak tahu tentang filem ini.

“Bila saya menang pada malam ini, saya harap lebih banyak pelakon baharu diberikan ruang,” akhirinya.

Terdahulu, Trisha berjaya menewaskan empat lagi pelakon wanita hebat iaitu Harissa Adlynn (The Lord Musang King), Teoh Ying Pei (The King Of Musang King), Zera Hariz (Syif Malam), dan Takahara Suiko (Imaginur).

Ini merupakan kemenangan pertama Trisha dalam karier lakonannya sejak mula menceburi industri seni.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf