Pelakon Puteri Sarah tampil menjelaskan mengenai beberapa luahan yang dikongsikan ibu mentuanya, Datin Patimah Ismail di media sosial sebelum ini susulan konflik melibatkan perkahwinannya bersama Syamsul Yusof.
Puteri Sarah berkata, sebagai menantu dia memahami perasaan ibu mentuanya terhadap apa yang berlaku.
“Saya faham perasaan ibu mentua saya ketika ini. Memang dia tak puas hati dan sedih dengan apa yang berlaku.
“Saya juga nak jelaskan di sini, orang luar tidak tahu apa yang terjadi sehingga dia bertindak meluahkan ketidakpuasan hatinya yang mendapat kecaman dan hentaman teruk daripada orang ramai.
“Ada sebab kenapa dia jadi begitu. Hanya saya, pihak di sebelah sana dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan saja tahu,” katanya kepada MH.
Puteri Sarah pada masa menambah, dia berharap netizen atau pihak luar tidak mudah mengecam Patimah.
“Tiada orang yang tiba-tiba nak melantun (mengamuk) atau ‘meroyan’ tanpa sebab.
Mesti ada sebab kenapa dia dan saya jadi begini.
“Jadi sebelum anda kecam, cari dulu punca kenapa kami jadi begini serta kenapa saya berdiri di sini (berada di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur untuk permohonan tuntutan cerai). Bukan saya suka-suka atau tiba-tiba ke pejabat agama sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Puteri Sarah mengaku trauma dengan konflik rumah tangga yang berlarutan hampir empat tahun.
“Sejujurnya memang trauma dengan apa yang berlaku sepanjang empat tahun ini. Tapi saya tahu, saya sudah berjuang habis-habisan termasuk keluarkan perintah injuksi, cari jalan pendamaian serta minta pandangan ustazah, tetapi tetap tak jalan. Jadi sebab itulah kami di sini (mahkamah syariah).” katanya lagi.
Terdahulu Puteri Sarah selesai memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Mahkamah Syariah Kuala Lumpur dan menetapkan 7 Mac depan sebagai sebutan pertama mereka.
Permohonan cerai terbabit difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Media sebelum ini melaporkan Puteri Sarah nekad untuk memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu apabila tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, baru-baru ini.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik Di Sini