Susuluan tular video yang memaparkannya mengenakan gaun putih dalam satu sesi fotografi, penyanyi, Siti Nordiana akhirnya menafikan dirinya bakal mendirikan rumah tangga.
Menurut Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, video berkenaan merupakan salah satu rangka promosi bagi konsert solonya yang diberi nama ‘Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun’ di Zepp Kuala Lumpur (KL) pada 11 Mei depan.
“Ya saya nak kahwin tetapi majlisnya akan berlangsung di Zepp KL pada Mei depan.
“Jadi saya nak jemput rakan media dan peminat ke sana meraikan konsert solo 25 tahun saya,” katanya pada sidang akhbar pada majlis pelancaran Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun pada Selasa.
Pada masa sama, penyanyi lagu Paling Comel ini turut memohon maaf sekiranya video berkenaan mencetuskan salah faham banyak pihak.
“Saya memohon maaf jika ada pihak yang salah faham dan menyangka saya akan bernikah selepas tersebar foto berbaju pengantin.
“Konsert ini ibarat perkahwinan bersama peminat yang sudah menanti lama konsert solo saya,” ujarnya.
Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun merupakan anjuran Icon Entertainment dan tiket mula dijual pada Jumaat ini.