“Saya Nak Move On,” – Pakai Persalinan Bak Merpati Putih, Puteri Sarah Liyana Harap Proses Lafaz Cerai Lancar

Share

Pelakon Puteri Sarah Liyana tiba di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi bagi proses melafazkan cerai seperti yang telah ditetapkan Hakim Akmaluddin Ilyas pada 10 April lalu.

Puteri Sarah tampil mengenakan sepersalinan rona putih sambil ditemani oleh dua orang adiknya.

Ketika disapa pihak media, Puteri Sarah berharap agar segala proses mahkamah dapat diselesaikan hari ini.

“Saya hanya berserah dan berharap agar segalanya dapat diselesaikan hari ini.

“Perasaan saya hari ini seperti menghadiri pertunjukkan fesyen. Kalau hari ini saya dilepaskan, saya rasa seperti kehidupan saya sudah bermula.

“Saya nak move on. Semoga apa-apa hal berlaku hari ini. Semoga semuanya dapat diselesaikan dengan baik dan kes ini dapat dipercepatkan dan tiada lagi pergaduhan selepas ini.

“Saya ada banyak lagi perkara yang tertngguh. Bulan depan saya ada urusan penggambaran di Indonesia bulan depan,” katanya kepada MH.

Ketika ditanya mengenai pemilihannya yang mengenakan sepersalinan putih, ini reaksi yang diberikan oleh ibu kepada dua orang cahaya mata itu.

“Kalau asyik pergi mahkamah pakai baju hitam, nampak seperti sedang depressi tapi saya tak depressi atau sedih. Sebaliknya saya gembira.

“Putih melambangkan saya memulakan hidup baharu. Saya ibarat merpati putih yang nak terbang tinggi,” ujarnya lagi.

Sekadar informasi, pada 10 April lalu, Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh 18 April untuk Syamsul melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah selepas peguam syarie kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian antara mereka.

Segala terma penyelesaian seperti hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian hanya dimaklumkan pada tarikh tersebut.

Pada 16 Januari lalu Puteri Sarah memfailkan permohonan penceraian di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Media juga melaporkan sesi perdamaian antara Syamsul dan isteri pertama, Puteri Sarah melalui JKP di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), di sini, pada 24 Mac lalu, menemui jalan buntu.

Terdahulu, pengarah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu enggan menceraikan Puteri Sarah kerana yakin rumah tangga mereka boleh diselamatkan, selain masih menyimpan perasaan sayang.

Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Published by
Aizam Manaf