“Saya Pantang Kalau Orang Cakap Lembut-Lembut Ni,” – Ernie Zakri Dedah Kisah Percintaan Dengan Syamel

Share

Pasangan penyanyi yang baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama, Ernie Zakri dan Syamel telah diundang untuk menjadi tetamu jemputan Carta Suria Top 40 di radio Suria FM pada Sabtu lalu.

Di samping menceritakan perkembangan terkini selepas berkahwin, Ernie turut mendedahkan detik awal percintaan bersama Syamel yang bermula sekitar tahun 2016.

Menurut Ernie, keperibadian Syamel yang lemah lembut dan sopan santun telah membuatkan dirinya jatuh cinta dengan jejaka berusia 27 tahun itu.

“Detik percintaan bermula sekitar pada tahun 2016. Sebenarnya mula-mula saya tak berapa suka dia sebab saya nampak dia macam poyo. Tapi itulah, bak kata orang tak kenal maka tak cinta.

“Selepas saya dah mula berborak dengan dia, saya rasa dia ni seorang yang lemah-lembut. Cakap pun lembut. Saya ni pula pantang kalau orang cakap lembut lembut ni, saya jadi jatuh cinta.

“Akhirnya, saya sendiri yang beritahu dia yang saya suka dia. Nampak saya ni macam gelojoh kan?,” katanya.

Imbas kembali, Ernie telah sah bergelar isteri kepada Syamel dengan sekali lafaz pada 26 Mac yang lalu.

Majlis pernikahan tersebut telah berlangsung di Masjid Puncak Alam, Selangor.

Foto: Instagram Ernie Zakri, Suria FM

Published by
Nazar Rafiqhi