Sinonim dengan penampilannya yang berkaki ayam ketika membuat persembahan, penyanyi Elyana akui bahawa dia selesa dengan cara sedemikian.
Popular dengan lagu Diriku Tapak Sulaiman, Elyana berkongsi sebab dia tidak gemar memakai kasut tumit tinggi (high heels), sebaliknya lebih selesa dengan pemakaian kasut flat (flat shoes).
Perkongsian itu dilakukan secara langsung menerusi program bual bicara, Mingguan Wanita semalam (Isnin) dengan tajuk Kasut Tumit Tinggi, Seksi Ke Seksa?.
“Sebenarnya perkara ini (tidak pakai tumit tinggi) sudah terjadi lama. Saya memang tak biasa pakai sedemikian daripada zaman sekolah lagi.
“Ketika di zaman sekolah, saya akui saya seorang pelajar nakal dan selalu didenda oleh cikgu seperti kena buka kasut. Jadi, saya sudah biasa berkaki ayam dan rasa sedap pijak alam semulajadi,” kongsinya jujur.
Elyana atau nama penuhnya Erneelya Elyana Emrizal acap kali dimarahi pereka fesyen kerana tidak selari dengan pemakaian ketika menghadiri majlis berprestij.
“Sekiranya saya pergi mana-mana majlis berprestij atau red carpet, saya akan memakai gaun yang panjang berjela dan dalam itu adalah selipar jepun.
“Ada juga segelintir pereka fesyen yang merajuk dengan saya. Tapi saya tak boleh buat apa, sebab ini keselesaan diri saya,” ujarnya.
Malah, Elyana lebih selesa memakai kasut flat atau berkaki ayam ketika membuat persembahan di atas pentas seperti sebelum ini.
“Kalau saya buat persembahan dengan memakai kasut tinggi, automatik saya akan lupa lirik. Saya jadi tidak berkeyakinan.
“Selalu juga dimarahi pereka fesyen kerana apabila melakukan persembahan, nampak tidak cantik jika tidak mengenakan kasut bertumit tinggi. Saya dah cuba, tapi memang tak boleh,” jelasnya lagi.
Ikuti temu bual lebih lanjut bersama Elyana yang dihoskan Erra Fazira dan Siti Elizad.
Turut hadir membincangkan kesan pemakaian tumit tinggi iaitu Pakar Sendi Tulang & Pengurusan Tekanan, Dr.Shahnun Anwar.
Video/Foto : Youtube Mingguan Wanita/ Instagram Elyana
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI