Hiburan

“Saya Pelakon Versatil, Boleh Jadi Tua & Muda,” – Tiada Masalah Bawa Watak Ibu Aedy Ashraf, Nabila Huda Buat Persiapan Rapi

Share

Pelakon, Nabila Huda tidak berdepan sebarang masalah untuk melakonkan watak ibu kepada aktor, Aedy Ashraf di dalam drama terbaharu, Lelaki Itu.

Menurut Nabila, sebagai pelakon yang berpengalaman, dia gemar melakonkan watak yang membawanya keluar daripada zon selesa.

“Bila diberitahu saya bakal membawa watak ibu kepada Aedy Ashraf, saya agak terkejut juga. Cabaran saya adalah untuk menjadikan watak ibu kepada anak remaja itu logik.

“Saya sudah biasa bawa watak seroang ibu tapi untuk membawa karakter yang lebih berumur, saya kena bekerja keras untuk tidak kelihatan muda,” katanya kepada MH.

Katanya lagi, dia juga sudah membuat persiapan rapi dari segi pemakaian serta intonasi suara bagi menampakkan watak tersebut nyata dan tidak janggal untuk ditonton.

“Kalau ikutkan, saya dan Aedy ini seperti kakak dan adik. Namun, yang paling penting adalah cara kita berlakon.

“Intonasi suara akan lebih dari dalam dan postur badan juga tidak boleh terlalu mendada.

“Jadi, momen paling penat, bila saya kena membongkokkan diri sepanjang penggambaran. Pakaian kita pun memainkan peranan.

“Saya sangat cerewet dan ambil berat tentang watak. Semua aspek saya kena jaga. Saya tak nak watak itu nampak tak nyata. Uban pun saya tak nak pakai. Saya boleh berlakon jadi tua,” ujarnya lagi.

Ditanya sama ada timbul kebimbangan sekiranya dia hanya ditawarkan watak ibu selepas ini, ini reaksi yang diberikan oleh anak kepada penyanyi lagenda Datuk Amy Search itu;

“Saya yakin yang saya merupakan seorang pelakon yang versatil. Saya boleh berlakon jadi tua, muda dan bermacam karakter.

“Untuk menjadi pelakon yang baik, kota kena kaji pelbagai watak. Ini kerja kita. Jangan rasa down bila dapat watak seorang ibu.

“Umur saya sudah 40 tahun dan sesuai dengn watak ibu tapi saya juga boleh bawa watak orang muda yang belum berkahwin.

“Saya sentiasa yakin yang saya boleh bawa apa jua watak sekalipun,” akhirinya.

Terdahulu, drama Lelaki Itu bakal bersiaran di slot Samarinda TV3 pada pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10 malam.

Drama ini turut membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Datuk Adi Putera, YM Sarimah Ibrahim, Nur Fazura, Nadia Brian dan Hanna Delisha.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf