Penyanyi Aliff Iskandar memaklumkan keadaan dirinya kini beransur baik setelah disahkan positif Covid-19 kira-kira seminggu lalu.
Dia yang kini sedang berada di pusat kuarantin di MAEPS Serdang, bagaimanapun masih perlu menjalani beberapa prosedur sebelum dibenarkan keluar sedikit masa lagi.
Berkongsi gejala awal, Aliff yang mula dikenali menerusi single, Perit mendedahkan, dia alami demam dan tidak sedap badan sejak 28 April lalu dan terus melalukan ujian calitan di sebuah klinik swasta pada keesokan harinya sebelum disahkan positif sehari kemudian.
“Memang saya alami demam panas, sesak nafas, batuk dan sakit kepala pada waktu itu. Saya pengsan tiga kali di rumah.
“Tapi saya tak tunggu lama dan terus melalukan ujian calitan memandangkan keadaan tersebut tidak pernah dialami sebelum ini.
“Bila dapat sahaja keputusan, klinik tersebut terus memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ambulans malam itu juga ‘jemput’ untuk dikuarantin di MAEPS Sedang,” katanya.
Sementara itu, Aliff menambah, rakan serumahnya juga sudah melakukan ujian calitan dan mereka didapati positif seminggu kemudian.
Manakala pihak pengurusan tempatnya belajar juga sudah melakukan beberapa saringan untuk mengenal pasti kontak rapat.
Dalam pada itu, Aliff menyatakan yang dirinya sudah semakin sihat daripada wabak berkenaan. Gejala demam dan batuk yang dialaminya juga sudah pulih dan dia hanya menunggu masa untuk keluar daripada tempat tersebut.
“Memang keadaan saya agak lemah pada peringkat awal. Tapi beberapa hari kemudian semuanya semakin baik dan saya dapat rasakan perubahan itu. Saya beruntung kerana tidak mengalami komplikasi yang serius.
“Di sini saya diberikan layanan baik dan kami sama-sama membuat pelbagai aktiviti seperti mana yang disarankan oleh petugas kesihatan. Jangan takut, semuanya akan baik-baik saja, insya-Allah,” katanya lagi.
Menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu pengajaran untuknya lebih berhati-hati selepas ini, Aliff memohon maaf kepada kontak rapatnya yang terpaksa melakukan kuarantin kendiri setelah dirinya disahkan positif.
“Saya minta maaf kerana menyusahkan rakan-rakan yang lain. Tidak ada siapa mahu menerima dugaan sebegini tapi saya reda.
“Ramai yang menitipkan doa dan kata-kata semangat terutamanya keluarga dan sahabat yang sudah mengetahui perkara ini.
“Untuk mereka yang berada di luar sana, jaga diri, jaga jarak dan ikut SOP yang ditetapkan. Kalau kita jaga diri, insya-Allah semuanya akan baik-baik sahaja,” katanya.
Aliff merupakan artis naungan Indigital Music dan baru sahaja melancarkan lagu Sedar Ku bersama Syahmi Irfan, Syafiq Naser dan Killa Driz sempena Ramadan.
Selepas ini, dia bakal muncul menerusi single berjudul Takdir.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI