Kasih sayang hingga ke hujung nyawa yang tiada akhirnya. Istilah itu mungkin paling tepat untuk menerangkan situasi yang dilalui pelakon, Fikry Ibrahim yang terpaksa menunda komitmen kerja demi menjaga ibu tercinta, Bibi Zaleha, 73, yang diserang angin ahmar.
Menerusi laporan Harian Metro beberapa hari lalu, pelakon dan usahawan itu melepaskan beberapa tawaran berlakon drama untuk menjaga ibu tersayang.
Dia bagaimanapun tidak ralat melepaskan tawaran berlakon kerana percaya rezeki.
“Saya percaya dengan rezeki Allah. Walaupun saya terpaksa tolak beberapa tawaran drama tapi saya percaya Tuhan akan gantikan dengan perkara yang lebih besar.
“Sebaik mengetahui ibu diserang angin ahmar, saya bergegas pulang ke Jitra. Memang tak fikir apa-apa mengenai kerja asalkan saya dapat bertemu ibu dengan segera.
“Ketika doktor maklumkan ibu sudah tidak boleh bercakap dan perlu dijaga makan dan mandinya, saya ambil keputusan untuk berada di Jitra buat sementara waktu.
“Banyak tawaran terpaksa ditolak pada saat-saat akhir, tapi saya tak boleh nak buat apa-apa sebab saya hanya ada dia. Selagi dia masih bernyawa, saya perlu menumpahkan sepenuh kasih sayang dan berbakti kepadanya,” katanya.
Dia pada masa sama menambah, fokusnya ini hanya kepada ibunya dan mendoakan agar ibu kembali sembuh seperti sedia kala.
“Buat masa ini, fokus utama saya adalah menjaga ibu, namun jika ada tawaran kerja yang singkat saya boleh pertimbangkan.
“Doakan semoga ibu saya kembali sihat dan sembuh. Saya hanya nak ibu saya kembali seperti sebelum ini. Saya sudah mula rindu untuk bersembang dengannya,” katanya lagi.
Sumber: Harian Metro