“Saya Percaya Dugaan Ini Akan Ada Hikmah…,” – Shuib Rindui Pajeri Nanas Air Tangan Siti Sarah

Share

Pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu mendedahkan dirinya akan tetap meraikan Aidilfitri demi menggembirakan anak-anaknya meskipun hatinya agak berat kerana ini merupakan kali pertama dia menyabut hari raya tanpa kehadiran isteri yang juga merupakan penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, dia juga mahu meraikan kejayaan anak-anaknya yang berjaya berpuasa penuh disepanjang bulan Ramadan ini.

“Tipulah kalau nak saya kata mudah nak lalui semua ini terutamanya ketika menyambut bulan Ramadan dan Syawal. Pada waktu-waktu ini kita banyak luangkan masa bersama keluarga. Tapi nak atau tidak saya kena lalui. Masa tidak akan berhenti berjalan.

“Saya percaya setiap dugaan ini akan ada hikmah yang lebih baik di depanNya nanti. Cuma nak lalui fasa-fasa ini, agak berat sikit bagi saya.

“Saya akan berbincang dengan anak-anak mengenai tema baju raya. Bila fikir semula, saya tak boleh pentingkan diri sendiri dan melayan perasaan saya sahaja sebab anak-anak sangat teruja nak beraya.

“Bulan Ramadan ini pun mereka sangat seronok nak berpuasa. Kesemua mereka berazam nak berpuasa penuh tahun ni. Jadi, saya kena meraikan mereka. Saya juga mahu mereka melupakan sedikit kesedihan itu,” katanya kepada MH. 

Dalam pada itu, bekas anggota kumpulan lawak Sepahtu ini turut menzahirkan rasa kagum dengan kekuatan semangat yang ditunjukkan oleh anak-anaknya untuk sentiasa bercerita mengenai arwah ibu mereka tanpa mengalirkan air mata.

“Keterbukaan untuk bercakap mengenai ibu mereka tanpa menangis membuatkan saya kagum. Mereka siap tanya ‘Raya ni tiada ibu kita nak buat apa dy?’. Yang ‘rabaknya’ saya tapi mereka okay sahaja. Mungkin itu kekuataan yang Allah beri pada mereka.

“Saya bercadang nak beraya lama di kampung kemudian bawa mereka bercuti. Mungkin raya tahun ini kami tidak diraikan di rumah. Juadah pun saya tak akan sediakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shuib turut mendedahkan dia juga amat merindukan juadah yang sentiasa disediakan oleh arwah isterinya ketika bulan Ramadan dan Syawal.

“Saya sangat suka air tangan arwah terutamanya pajeri nenas dan kerutup. Baru-baru ini mak mertua saya ada buat tapi saya tak boleh makan. 

“Selepas arwah meninggal, ketika saya ingin membersihkan peti ais,rupanya dia memang ada masak pajeri nenas untuk saya. Luruh hati saya pada ketika itu. Saya bukan sakit tapi ia rasa macam susah sangat nak makan. Rasa macam ada yang tak lengkap.

“Apapun, saya tetap kena paksa diri untuk makan sebab saya tak boleh sakit. Tanggungjawab saya demi anak-anak masih lagi besar. Tapi kalau beriya-iya nak makan, perasaan itu belum ada lagi,” jelasnya lagi.

Sekadar informasi, Shuib dan Sarah telah melayari bahtera perkahwinan selama 10 tahun dan dikurniakan empat orang cahaya mata Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan yang baru berusia 9 bulan.

Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat COVID-19 pada tanggal 9 Ogos tahun lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf