Meskipun baru sahaja memulakan karier lakonan beberapa tahun lalu, namun nama pelakon Sharifah Rose kini dilihat semakin mekar meniti di kalangan penggemar drama tempatan.
Setakat tahun ini sahaja, sudah dua drama menampilkannya sebagai heroin termasuk drama terbaharunya, Do You Love Me, Captain?
Ekoran itu, Sharifah Rose atau nama sebenarnya, Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira ada yang mendakwa dia sebagai anak emas stesen televisyen disebabkan kekerapannya menjadi heroin.
Menafikan dakwaan tersebut, Sharifah Rose menyifatkan tawaran yang diberikan adalah rezeki yang sudah tertulis.
“Nak cakap anak emas bukanlah anak emas pun… mungkin first drama dengan Redza Rosli iaitu Kekasih Hati Mr Bodyguard dapat banyak perhatian penonton dan dari situ stesen tv nampak saya dan daripada situlah kerjaya saya mula berkembang.
“Do You Love Me, Captain? drama ketiga saya jadi heroin, saya anggap semua ini adalah rezeki Alhamdulillah,” katanya kepada Media Hiburan pada sesi sidang media virtual drama Do You Love Me, Captain? pada Selasa.
Walaupun ada yang mengkritik mengenai lakonannya, namun gadis 24 tahun ini tidak sesekali patah semangat.
Sebaliknya akan terus belajar bagi memantapkan lagi mutu lakonannya agar setanding dengan rakan pelakon yang lain.
“Memang dari dulu saya tak pernah ambil hati bila lakonan saya dikritik sebabnya kadang-kadang saya ada buat salah yang saya sendiri tak perasan.
“Saya rasa dah buat yang betul tapi mereka nampak ada salah sebab kita tak nampak bila diri kita dalam screen.
“Dari situ saya belajar untuk menjadi yang lebih baik dari sebelum ini. Macam kali ini saya bergandingan dengan Ali, kami sama-sama masih baharu jadi kami banyak belajar di antara satu sama lain,” katanya lagi.
Do You Love Me, Captain? yang menghiasi slot Lestary TV3 bersiaran setiap Sabtu hingga Sabtu jam 9 malam.
Drama arahan Adam Hamid ini turut dibintangi Ali Rezark, Azim Yusof, Hazeeq Dean dan Faye Kusairi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Sharifah Rose