“Saya Pernah Ada Tumor Di Dalam Perut,” – Naz Rahman Sudah 10 Kali Jalani Pembedahan, Jawab Fizikal Susut Hingga ‘Hilang’ 14 Kilogram

Share

“Alhamdulillah, tumor itu sudah berjaya dikeluarkan dan setiap tahun saya ‘check up…’

Demikian kata pengacara dan pelakon drama siri Liar, Naz Rahman yang mengakui berat badannya ‘hilang’ lebih 14 kilogram selepas menjalani pembedahan membuang tumor dalam perut susulan gastrointestinal stromal tumor (GIST) lebih empat tahun lalu.

Naz atau nama sebenarnya, Nazrudin Habibur Rahman, 44, berkata ekoran keadaan tersebut, ia mengurangkan 15 peratus saiz perutnya yang sekali gus membuatkan berat badannya susut.

“Saya pernah ada tumor di dalam bahagian perut, dah lebih empat tahun dan keadaan begitu juga. Ramai yang tanya kenapa saya kurus, ‘kau ni hisap dadah ker? atau apa’? Tapi dari dulu sampai sekarang ia adalah sebab perut saya dah kurang 15 peratus.

“Jadi bila tibanya bulan puasa, semakin susut berat badan saya sehinggakan ada produksi bertanya adakah saya sakit. Ya memang saya sakit, tapi insya-Allah masih boleh bekerja.

“Alhamdulillah, tumor itu sudah berjaya dikeluarkan dan setiap tahun saya ‘check up’. Tiap tahun bila doktor cakap saya ‘clear’ (bebas dari tumor), saya bersyukur masih dapat bekerja dan berkarya,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, Naz turut berharap semoga apa yang dikongsikan ini menjawab persoalan peminat dan rakan industri mengenai status kesihatannya selama ini.

“Jujur saya cakap, saya hilang 14 kilogram. Bayangkan ini baju yang saya pakai ketika berkahwin, siap ‘fitting’ tapi sekarang tengok bahagian bahu dia (sudah jatuh). Semua susut dan saya tak boleh nak tambah berat badan.

“Jadi, mungkin saya nak ambil kesempatan ini untuk peminat dan rakan industri yang bertanya kenapa kurus. Minta maaf saya tak suka nak uar-uarkan tapi sakit ini memang berpanjangan. Saya akan macam ni sampai bila-bila tapi akan terus ceria, insya-Allah.

“Saya sepatutnya makan lima kali sehari tapi hidangan kecil sahaja. Bayangkanlah bila puasa sekarang ini, sahur makan sikit sahaja. Begitu juga bila berbuka,” katanya lagi.

Naz yang sinonim menerusi program Jalan Jalan Cari Makan sebelum ini juga akui dia perlu terus kuat demi isteri, Sheahnee Iman Lee dan tiga cahaya matanya, Zara Aaliyah, Zakry Aiman dan Zayd Aaqil.

“Ini juga merupakan pembedahan saya yang ke 10. Macam-macam lah dugaan dalam hidup ini, akan tetapi apa yang terjadi adalah ujian daripada Allah. Namun macam mana akan reaksi kita terhadap cubaan (ujian) yang dihadapi.

“Jadi saya memang ada pilihan sama ada nak sedih, down, depress… memang patut, tapi demi anak-anak isteri dan keluarga. Semangan itu yang membuatkan saya untuk ambil keputusan mengapa perlu rasa tertekan. 

“Saya masih boleh bekerja, saya masih ada nyawa, boleh merasai nikmat kehidupan dan saya masih nak lihat anak-anak saya membesar, jadi saya ambil keputusan untuk positif. Sebab kalau kita nak fikir negatif pun tiada gunanya. Terus cekal, Insya-Allah,” katanya lagi.

Terdahulu, Naz ditemui pada Majlis Berbuka Puasa & Pelancaran Rahsia Gaya Raya Watson di Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini. 

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH