Hiburan

“Saya Pernah Begitu Tapi Tak Bawa Di Dunia Nyata,” – Ramai Influencer Lelaki Ditegur Kerana Imej Seperti Wanita, Ini Kata Ucop

Share

Pelakon dan pempengaruh, Ucop berpandangan para pembikin konten harus tahu membezakan personaliti di media sosial dan dunia nyata.

Ia susulan selepas banyak pihak yang memberikan teguran terhadap segelintir pempengaruh lelaki yang dilihat agak terbuka untuk mengenakan fesyen seperti wanita di acara-acara besar terutamanya yang disiarkan di platform media arus perdana.

Menurut Ucop atau nama sebenarnya Mohd Yusof Hashim, selepas lebin enam tahun dia bergerak aktif sebagai pembikin konten, dia merasakan banyak perkara yang telah berubah.

“Saya pun pernah buat konten sebegitu dahulu tapi saya tidak akan bawa watak tersebut di dunia nyata. Ia hanyalah sebuah pesona dan identiti yang dicipta,” katanya kepada MH.

Ucop berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana siri Original Viu, The Secret yang berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur pada Selasa.

Pada masa sama, Ucop juga berharap para pembikin konten dapat lebih menghormati undang-undang dan budaya di negara ini.

“Segalanya terpulang kepada individu itu sendiri. Kalau niatnya ingin menjadi seperti perempuan, kita pun tahu apa akibatnya terutama sekali dengan geografi dan budaya negara kita.

“Kalau seseorang itu bersolek hanya sekadar untuk konten, saya rasa ia bukan satu masalah. Semua orang bebas untuk membuat apa sahaja jenis konten.

“Asalkan dia bermanfaat untuk orang ramai. Scene conten creator saya dahulu berbeza dengan sekarang. Mereka lebih terbuka mengekspresikan apa yang mereka rasa,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, pelakon drama Projek High Concil ini turut menasihatkan para pembikin konten untuk berfikir panjang sebelum memuat naik sebarang hantaran yang bertentangan dengan agama.

“Kita kena lihat kembali konten apa yang mereka lakukan.

“Jika konten mereka bertentangan dengan agama, mereka harus fikir dua kali sebelum memuat naik konten berkenaan agar ia tidak mencetuskan spekulasi kepada umum,” katanya lagi.

Bercerita lanjut mengenai drama The Secret, Ucop mendedahkan drama ini menyentuh isu sensitiviti yang jarang diangkat secara serius di dalam naskhah-naskhah lain.

“Saya melihat skrip dahulu dan membaca sinopsis. Kemudian, saya jatuh hati dengan watak ini. Malah, drama ini pula menyentuh isu sensitif seperti rogol, buli siber dan bunuh diri.

“Jadi, saya merasakan drama ini sebagai satu tanggungjawab untuk beri pengajaran kepada penonton. Watak saya juga sangat susah dan bermain dengan emosi. Sebab itu saya terima,” akhirinya.

Terdahulu, selain Ucop, drama ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Remy Isyak, Siti Saleha, Sara Mack Lubis dan Fatima Abu Bakar.

Drama arahan Jason Chong ini bakal mula bersiaran selama lapan episod di platform pentriman Viu bermula 22 Oktober ini.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf