“Saya Pernah Cuba Balada, Tapi…,” – Shatirah Amanda

Share

Penyanyi dan pelakon, Shatirah Amanda optimis untuk meneruskan kerjaya seninya menerusi barisan lagu yang genre segar seiring dengan kencintaan di dalam muzik yang berentak rancak dan ‘fast’.

Berasal dari Kelantan, Shatirah yang juga sebelum ini pernah menyertai Pencarian Dewi Remaja 2020 kini muncul dengan single terbaharu berjudul Langit Bukan Limit.

“Saya yakin lebih sesuai dengan muzik seperti yang saya bawakan. Irama lebih segar dan ala cenderung ke aliran bunyi K-pop.

“Saya pernah cuba balada, tapi saya kurang selesa kerana bukan diri saya,” katanya.

Dia pada masa sama juga tidak pernah berputus asa untuk memperjuangkan kariernya dalam industri muzik susulan pernah tampil dengan tiga single sebelum ini.

Terdahulu, Langit Bukan Limit merupakan sentuhan komposer Mas Dewangga dan liriknya diilhamkan oleh Shatirah sendiri.

Menurut Shatirah, ilham tersebut muncul apabila memikirkan tentang wanita-wanita yang sentiasa kuat dan tidak pernah berputus asa dalam kehidupan mereka.

“Ketika itu saya fikir apa salahnya jika perjuangan mereka ini diterjemahkan dalam lagu. Ramai wanita kuat di luar sana yang sentiasa bersemangat, tidak berputus asa untuk mencapai apa yang diimpikan dalam kehidupan.

“Saya harap lagu ini dapat memberikan semangat dan inspirasi kepada pendengar yang pernah menjalani kehidupan yang sukar dan berani untuk bertindak demi pencapai matlamat hidup mereka.

“Saya berharap para pencinta muzik akan dapat menerima kepelbagaian konsep dan genre yang dibawa kali ini.

“Saya juga berharap impian dan cita-cita saya untuk memperkenalkan bakat saya ke peringkat antarabangsa pada masa hadapan akan tercapai,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Shatirah Amanda bakal muncul menerusi filem seram arahan Datuk TS Jeffri yang berjudul ‘Marrak’ yang akan ditayangkan di pawagam, Ogos depan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH