Selepas membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pengacara, Sherry Al-Hadad gara-gara gurauan yang dikatakan keterlaluan, naib juara Big Stage 2020, Usop tampil berkongsi mengenai perkara sebenar.
Menurut Usop, dia telah pun terlebih dahulu membuat permohonan maaf di belakang pentas kerana sedar akan keterlanjuran katanya itu.
“Selepas insiden tu saya pun terfikir yang saya ada buat salah, lebih baik saya minta maaf.
“Saya minta maaf dengan Kak Sheery dekat belakang pentas tadi dia jawab ‘Akak okaylah Usop tapi orang tak akan faham yang kita ni melawak’.
“Mungkin sebab live dan keluar dalam tv pula. Mesti ada yang kata saya kurang ajar.
“Pada awalnya saya tak sedar sampai manager saya tegur, saya terus pergi cari dia,” katanya.
Usop berkata demikian sewatu ditemui media selepas tamatnya Konsert Akhir Big Stage 2020 yang berlansung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada Ahad.
Jelas bintang berusia 23 tahun itu lagi, soal ‘body shamming’ ini bukanlah sesuatu yang baru buat dirinya malah Usop turut mendedahkan dia juga pernah menjadi mangsa kelakuan tidak bermoral itu.
“Niat saya hanya bergurau. Nak kata fasal body shaming ni, saya pun pernah kena lagi teruk. Saya pun kadang-kadang terasa juga dengan netizen, bila orang mengata saya, mereka tak cakap apa pun.
“Ada juga orang pernah kata, saya ni muka macam tukang kebun tapi nak jadi artis. Lepas tu orang kata pula pasal saya punya gigi.
“Sebenarnya saya bangga dengan keadaan gigi saya. Buat apa saya nak ubah ciptaan tuhan. Saya bersyukur dengan apa yang Allah bagi.
“Ada yang sampai gelar saya penyanyi pecah rumah. Kadang-kadang saya kena dengan kawan saya pun ada masa di kampung. Kawan yang kita jumpa selalu pun ada mengata pasal saya.
“Tapi saya dah buktikan dekat mereka saya dah masuk program realiti dan ini yang saya telah capai,” jelasnya lagi.
Sedar akan kelakuannya itu, penyanyi asal Kedah itu turut berjanji akan lebih berhati-hati dalam percakapannya terutama ketika bergurau.
“Mungkin selepas ini saya akan lebih berjaga-jaga. Ini pengajaran juga bagi saya.
“Dari segi percakapan dan perangai InsyaAllah saya akan ubah,” jelasnya lagi.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI