Meskipun terlepas gelaran juara, penyanyi, Liza Hanim terharu dengan sokongan yang telah ditunjukkan peminat selama 12 minggu bertanding di program All Star Gegar Vaganza.
Malah, rata-rata peminat di media sosial juga meluahkan rasa kecewa apabila Liza hanya sekadar menduduki tempat keempat.
Mengulas mengenai hal tersebut, Liza menyifatkan sokongan yang ditunjukkan peminat nyata menyentuh hatinya.
“MasyaAllah, sokongan itu yang saya mahukan. Itu sudah cukup. Walaupun orang mengharapkan saya menang tapi kata-kata peminat semua sudah cukup memberikan saya senyuman.
“Ia menunjukkan saya telah memberikan yang terbaik di pentas ASGV selama 12 minggu ini.
“Rezeki semua sudah tertulis. Jadi, kalau kita hanya memandang terlalu tinggi, kita akan kecewa dan banyak berfikir. Sampai ke peringkat akhir pun sudah cukup buat saya.
“Saya nak mereka bangga dengan persembahan saya dan saya rasa saya sudah mencapainya,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Gelisah Mimpi ini berkata sedemikian selepas selesai pentas akhir ASGV yang berlangsung di Axiata Arena pada Ahad.
Pada masa sama, Liza juga akui tersentuh dengan pujian yang diberikan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menyukai persembahan ketika berduet dengan Aina Abdul menerusi lagu, Terus Hidup.
“Pujian daripada Datuk Siti Nurhaliza sudah cukup buat saya. Hati saya sangat gembira,” ujarnya.
Dalam pada itu, Liza turut mendedahkan dirinya pernah berhasrat untuk berhenti menyanyi disebab perjalanan kariernya yang agak perlahan.
Namun, semangatnya kembali membara apabila bakatnya kembali mendapat perhatian di ASGV.
“Hal ini sangat menyentuh jiwa saya. Memang ada momen-momen dalam kerjaya yang saya merasakan sudah tiba masanya untuk berhenti menyanyi.
“Namun, masih ada segelintir pihak yang mempercayai saya. Mereka yang buatkan saya bertahan. Beberapa minggu lepas, perasaan itu datang kembali ketika saya mengalami waktu yang mencabar.
“Namun, saya tetap harus melawan untuk sampai ke peringkat akhir ini,” kongsinya.
Katanya lagi, dia bakal berkongsi detik jatuh bangunnya sepanjang bergelar anak seni di konsert solo pertamanya nanti.
“Ini juga merupakan antara sebab saya mahu mengadakan konsert untuk berkongsi perjalanan jatuh bangun saya.
“Orang lain lapan hingga 10 tahun dah buat konsert banyak kali tapi saya tak pernah ada peluang. Ia membuatkan saya tertanya-tanya adakah saya tak layak untuk mencapai semua itu?
“Selama ini saya menerima sokongan bercampur baur. Ada yang suka dan ada yang tidak. Jadi, saya rasa diri tak layak buat konsert.
“Kini mereka ada bersama saya dan saya mahu meraikannya di konsert itu nanti,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.