“Saya Pun Malu Nak Mengaku Juara,” – Lawak Tiru Suara Selalu Diperlekeh, Danial Zaini Nak Berhenti Jadi Pelawak?

Share

Pelawak dan penyampai radio, Danial Zaini mengakui dirinya pernah terdetik untuk berhenti daripada meneruskan kerjayanya di dalam dunia komedi gara-gara kurang diberikan peluang dan perhatian.

Jelas Danial, segalanya masih lagi segar di fikiran apabila ada yang beranggapan kerjaya lawaknya tidak mampu untuk pergi jauh seperti pelawak-pelawak yang lain.

“Sebelum ini saya merasakan dunia lawak ni dah habis bagi saya. Kerana itu bermulanya saya buat lagu sebab saya rasa tiada tempat lagi untuk saya melawak.

“Saya masih ingat lagi kata-kata orang yang mengatakan lawak tiru suara saya ni tak boleh pergi mana-mana pun. Meski masa saya beraksi di pentas besar pun, ada juga yang berkatakan sebegitu,” katanya kepada MH.

Penyampai radio Era itu berkata sedemikian sewaktu ditemui pada sidang media malam final Muzikal Lawak Super musim ke-2 baru-baru ini.

Danial turut menambah, pada mulanya dia berasa agak berat hati untuk menyertai MLS pada kali ini kerana merasakan dirinya sudah tidak layak lagu untuk beraksi di mana-mana pentas.

“Saya masih ingat lagi masa Maharaja Lawak Mega 2017, saya dah kata itu pentas terakhir saya dalam dunia komedi. Saya dah tak nak masuk mana-mana pentas. Malah, saya pun tak buat lawak ‘stand up’ dekat mana-mana dah.

“Bila tahun lepas saya masuk MLS musim pertama dan saya tersinggir, saya okay lagi sebab buat untuk kawan-kawan. Tapi tahun ni agak berat sikit nak masuk sebab saya macam dah takda hati.

“Kemudian, Abang Ezad dan Azmi pujuk saya untuk masuk. Minggu demi minggu saya cuba dan minggu ketiga mereka minta saya buat lawak tiru suara semula. Saya bersetuju dan Alhamdulillah juri pun boleh terima termasuklah orang lain juga.

“Yang dulunya mereka kata saya ni tidak akan ke mana dan karier lawak saya tak boleh pergi jauh tapi alhamdulillah hari ini rezeki Allah,” katanya lagi.

Ditanya mengenai reaksinya yang dilihat terduduk saat Heart diumumkan sebagai juara MLS musim ke-2, Danial menjelaskan dia sebolehnya mahu menutup kariernya sebagai seorang pelawak dengan kejayaan ini.

“Ketika itu, apa yang terlintas di fikiran saya adalah saya memang nak tinggalkan dunia komedi ni. Saya belum terfikir kalau saya ditawarkan untuk masuk Maharaja Lawak Mega tahun ini.

“Apa yang boleh saya katakan sekarang, mungkin ini pentas terakhir saya untuk melawak. Saya nak tutup dengan kemenangan ini. Saya nak bina karier saya dalam hosting, menyanyi dan berlakon.

“Bila saya tutup dengan kejayaan ini, bermakna orang masih boleh terima saya melawak. Dari tahun 2016 hingga 2020, sangat sukar untuk saya menapak dalam industri komedi.

“Saya masih bertahan pun sebab saya jadi penyampai radio, berlakon dan menyanyi tapi komedi tidak. Saya hanya jadi juara Lawak Solo 2016 je. Itu je gelaran yang saya ada. Saya pun malu nak mengaku saya juara.

“Tapi bermula hari ini saya bangga saya jadi juara Lawak Solo. Saya bersyukur dengan rezeki yang Allah beri kepada saya serta sokongan keluarga. Terima kasih juga kepada Astro yang juga rumah kedua saya,” akhirinya.

Terdahulu, kumpulan Heart yang dianggotai oleh Danial, Azmi Saat dan Ezad Lazim dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah utama RM150,000 beserta trofi.

Pada malam tersebut, Danial turut telah diangkat sebagai ‘Superstar Of The Season’ pada pertandingan kali ini.

Published by
Aizam Manaf